Masyarakat perlu terlibat sama tangani rasuah

Mohd Nizam ketika program Kompas Rasuah Busters ‘On The Go’ bertajuk ‘Rasuah: Mak Kata Jangan, Hawau!’ yang bersiaran di Facebook Sinar Harian pada Ahad.
Mohd Nizam ketika program Kompas Rasuah Busters ‘On The Go’ bertajuk ‘Rasuah: Mak Kata Jangan, Hawau!’ yang bersiaran di Facebook Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) berpendapat bukan ibu bapa sahaja yang perlu memainkan peranan dalam memerangi rasuah, sebaliknya masyarakat juga perlu terlibat sama.

Pemangku Presiden YARM, Mohd Nizam Mohd Isa berkata, ia berikutan ada segelintir masyarakat yang bersikap endah tak endah terhadap budaya tersebut sehingga ia terus berleluasa dalam komuniti.

“Untuk mengatasi budaya rasuah ini, bukan sahaja ibu bapa yang perlu memainkan peranan, tetapi masyarakat. Jika, kita masih mempunyai masyarakat yang berbudaya seperti endah tak endah, maka kita akan hadapi masalah yang digelar sebagai ‘endemik’.

“Justeru, kita perlu membudayakan secara keseluruhan, bukan satu kelompok sahaja. Kalau tidak, kita akan gagal selamanya,” katanya pada program Kompas Rasuah Busters ‘On The Go’ bertajuk ‘Rasuah: Mak Kata Jangan, Hawau!’ yang bersiaran di Facebook Sinar Harian pada Ahad.

Program yang dimoderatorkan oleh Masruddin Rahmat itu turut menampilkan Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa dan Penyelidikan Untuk Kelestarian (IDRIS), Datuk Mohd Nizam Mahshar sebagai panel jemputan.

Dalam pada itu, Mohd Nizam turut menyifatkan bahawa manusia itu boleh berubah apabila memegang sesuatu jawatan.

“Apabila dia memegang kuasa ataupun jawatan, didikan ibu bapa yang dari awalnya bagus dia seolah-olah terlupa. Ini kerana saya sendiri melihat ada segelintir individu di Malaysia berperwatakan sedemikian.

“Adakah kita nak salahkan ibu bapanya? Tidak mungkin kerana manusia boleh berubah apabila dia memegang sesuatu jawatan tertentu,” katanya.

Artikel Berkaitan: