Kerajaan perlu sediakan sistem laporan kesan sampingan vaksin

Gambar kecil: Mohideen
Gambar kecil: Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan agar kerajaan menyediakan satu sistem laporan yang lebih telus bagi membolehkan orang awam melaporkan kesan sampingan suntikan vaksin sebagaimana dilaksanakan Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, melalui sistem itu, selain melaporkan, orang awam juga boleh melihat laporan kesan sampingan yang dilaporkan mengenai suntikan vaksin.

Menurutnya, pada masa kini, rakyat Malaysia boleh melaporkan kesan sampingan kepada pihak berkuasa namun tiada akses awam kepada laporan berkenaan.

"Di Amerika Syarikat (AS), sesiapa sahaja boleh menyerahkan laporan kepada VAERS yang mana ia dipantau dengan teliti oleh Pusat bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) dan Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA). Semua kesan sampingan yang dilaporkan kepada VAERS boleh didapati oleh orang ramai secara dalam talian.

"Sementara itu, di United Kingdom (UK) pula, terdapat laman sesawang khusus yang disediakan di bawah skim Yellow Card yang mana orang awam boleh melaporkan kesan sampingan yang disyaki daripada ubatan, vaksin atau peranti perubatan berkaitan rawatan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan juga perlu memainkan peranan dengan mengambil kira kesan sampingan ubat dan vaksin dengan serius, menyiasat serta melakukan autopsi ke atas mereka yang meninggal dunia akibat kesan sampingan yang disyaki bagi mencari punca sebenar kematian.

"Menurut ahli patologi terkenal Jerman, Peter Schirmacher dari Universiti Heidelberg, kumpulannya telah mengkaji 40 orang yang meninggal dunia dalam tempoh dua minggu selepas vaksinasi. Beliau kemudiannya merumuskan bahawa sekitar 30 hingga 40 peratus daripada jumlah itu disahkan kerana vaksin.

"Beliau juga percaya bahawa keseluruhan kematian berikutan vaksinasi kurang dilaporkan. Mereka menggunakan ujikaji vaksin yang diluluskan oleh peraturan kecemasan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh demikian, CAP merasakan keperluan kepada penyiasatan terhadap kesan sampingan dan kematian akibat ujikaji vaksin ini adalah lebih penting berbanding untuk melindungi rakyat Malaysia," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga sepatutnya melihat kepada rawatan alternatif yang boleh didapati dengan selamat, murah dan berkesan serta bukannya semata-mata dengan kaedah ujikaji vaksin.

"Rawatan alternatif ini telah digunakan di banyak negara dan menunjukkan hasil yang positif. Negara kadar vaksin yang tinggi seperti AS, UK dan Israel sebenarnya menderita kerana kadar jangkitan yang tinggi.

"Jangkitan Covid-19 di AS telah mencapai 1 juta sehari. Ini menunjukkan, vaksinasi tidak merendahkan kadar jangkitan walaupun ia berkesan dalam mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital dan kematian," katanya.

Mohideen menambah, kesan jangka panjang ujikaji vaksin ini mungkin mengambil tempoh yang panjang untuk membongkarnya.

Justeru katanya, negara perlu memandang serius mengenai kesan sampingan serta mengambil tindakan segera dalam melindungi rakyat pada waktu ini dan masa depan.