Kerajaan negeri bantu KIAS naik taraf universiti penuh

Ahmad Yakob (dua dari kiri) merasmikan Majlis Sambutan Dua Dekat Penubuhan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra di Nilam Puri, Kota Bharu sambil diiringi Mohd Amar (dua dari kanan) dan Rektor KIAS, Profesor Dr Ab Aziz Mohd Zin (kiri).
Ahmad Yakob (dua dari kiri) merasmikan Majlis Sambutan Dua Dekat Penubuhan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra di Nilam Puri, Kota Bharu sambil diiringi Mohd Amar (dua dari kanan) dan Rektor KIAS, Profesor Dr Ab Aziz Mohd Zin (kiri).
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntukkan geran bernilai RM50juta dalam usaha membantu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Nilam Puri di sini dinaik taraf kepada universiti penuh dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, geran RM50 juta itu diberikan secara berperingkat sepanjang tempoh berkenaan dengan kadar RM10 juta setahun.

Menurutnya, peruntukan itu bertujuan membantu KIAS meningkatkan pembangunan infrastruktur seperti bangunan pentadbiran, perpustakaan dan kelas pengajian.

“Setakat ini, KIAS tidak ada kemudahan bangunan pentadbiran atau canselori yang diperlukan bagi mencapai taraf universiti.

“Selain prasarana yang lengkap, turut ditekankan adalah kualiti dan prestasi terbaik dalam kalangan pensyarah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Dua Dekat Penubuhan KIAS di Nilam Puri, di sini, pada Ahad.

Majlis dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Adat dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Zulkifle Ab Rahman dan Rektor KIAS, Profesor Dr Ab Aziz Mohd Zin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas mencapai taraf universiti KIAS berhasrat untuk membina kampus di daerah-daerah termasuk di Kota Bharu manakala Nilam Puri akan dijadikan sebagai kampus induk.

“Syarat untuk diiktiraf sebagai universiti penuh perlu mempunyai sekurang-kurang 2,500 penuntut dan setakat ini kita hanya mempunyai lebih 1,000 penuntut dan jumlah itu akan dinaikkan kepada 2,000 sehingga 5,000 orang dalam tempoh lima tahun berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“KIAS juga perlu mempunyai ramai pensyarah yang memiliki Ijazah Kedoktoran (PhD) bertaraf profesor dan profesor madya selain aspek kajian akademik bertaraf antarabangsa dalam kalangan pensyarah yang turut diambil kira. Kemudian baru lah kita boleh hantar permohonan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapat taraf universiti penuh,” jelasnya.

Tambah beliau, KIAS menawarkan 18 program meliputi peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan adalah satu-satunya kolej univeristi yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.

“Pelajar di KIAS mahir berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Arab serta lepasan Diploma KIAS boleh menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir selain berkebolehpasaran graduan yang tinggi,” katanya.