PRN Johor: Bersatu belum sedia ulas mengenai Pas

Ahmad Faizal (dua dari kiri) bersama Abdul Rahim ketika meninjau ruang pameran sempena Seminar Pendigitalan Perniagaan pada Ahad.
Ahmad Faizal (dua dari kiri) bersama Abdul Rahim ketika meninjau ruang pameran sempena Seminar Pendigitalan Perniagaan pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu enggan mengulas pendirian Pas yang dilihat mahu bekerjasama dengan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, Bersatu telah membuat keputusan untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu dan akan mengadakan perbincangan bersama rakan strategik Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas dalam masa terdekat.

"Saya tiada komen untuk itu (Pas).

"Tentunya Bersatu ambil bahagian dan kami akan bincang bersama rakan strategik dalam PN berkaitan penyertaan dalam PRN berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di Hotel Casuarina Meru di sini.

Hadir sama, Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Pada Sabtu, Pas mengesahkan menyertai PRN Johor, namun belum menetapkan sama ada mahu bekerjasama dengan PN, Muafakat Nasional (MN) atau secara sendirian.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pihaknya sedia berunding dengan parti lain yang mempunyai kerjasama termasuk UMNO menerusi MN.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan media sebelum ini, Ahmad Faizal memberitahu bahawa Bersatu telah memulakan persiapan mempersiapkan jentera dalam menghadapi PRN Johor.

Ia termasuklah mendapatkan calon yang berkaliber, muda dan boleh diterima rakyat.

Dalam perkembangan lain, Menteri Belia dan Sukan itu menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan Gabem dalam penyediaan kursus perniagaan pendigitalan melibatkan golongan belia.

Katanya, proses rundingan berkaitan perkara itu akan dimulakan secepat mungkin dengan melibatkan rakan kongsi yang lain bagi memupuk minat golongan belia dalam perniagaan.

"Saya melihat usaha dibuat Gabem melalui seminar perniagaan ini amat baik, elok dilakukan di seluruh negara dan buka kepada golongan belia.

"Menerusi kerjasama ini, kita boleh menggunakan fasiliti yang ada di bawah kementerian seperti kem wawasan, kompleks belia dan dewan untuk kita gunakan sebagai tempat kursus dan penginapan," jelasnya.