ADUN, personaliti politik Semenanjung sertai Warisan petanda positif

Mohd Shafie menerima borang kemasukan ahli Warisan daripada Jeff Ooi (tengah) dan Danny Law (kanan) selepas mengadakan walkabout di Tamu Jalan Gaya, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie menerima borang kemasukan ahli Warisan daripada Jeff Ooi (tengah) dan Danny Law (kanan) selepas mengadakan walkabout di Tamu Jalan Gaya, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan beberapa personaliti politik dari Semenanjung ke dalam Parti Warisan disifatkan sebagai petanda positif dalam usaha parti itu memperluaskan pengaruh di seluruh negara.

Penyertaan mereka itu selaras dengan tujuan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung yang mahu memberi pilihan kepada rakyat memilih parti lain untuk menerajui negara.

Menurut Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, itu petanda yang baik bahawa mereka telah menyatakan harapan kerana dilihat sudah tidak ada pilihan lain ketika berdepan pilihan raya.

"Kalau kalau kita melihat pilihan raya demi pilihan raya, peratusan turun mengundi menurun di merata tempat di mana orang tidak ada pilihan.

"Jadi dengan ada pilihan Warisan sebagai sebuah parti berbagai bangsa, berbagai anutan agama, kemungkinan ini satu perubahan senario politik di mana mereka sanggup memilih parti Warisan yang kita katakan walaupun berdaftar di Putrajaya tetapi sebahagian besar dilahirkan di Sabah.

"Jadi kalau mereka boleh terima sebuah parti yang dilahirkan di Sabah, kita juga boleh menerima parti yang dulu dilahirkan di Semenanjung.

"Jadi ini satu perubahan yang tidak pernah berlaku dalam politik negara kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan walkabout sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pasar Jalan Gaya, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong; bekas Ahli Parlimen Jelutong (Pulau Pinang), Jeff Ooi Chuan Aun dan bekas ADUN Batu Lanchang yang juga bekas Exco Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Pulau Pinang, Datuk Danny Law Heng Kiang dalam program Warisan sejak malam Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiga mereka menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Warisan kepada Mohd Shafie selepas walkabout di Tamu Jalan Gaya, di sini.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung tiga ahli DAP Sabah termasuk dua ADUN yang mengumumkan keluar parti Khamis lalu, Mohd Shafie berkata, beliau terbuka jika mereka mahu sertai Warisan.

"Kita terbuka untuk mereka, ADUN Bebas dari Teratau pun kita boleh terima, takkan dari Sabah tak boleh terima," katanya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, setakat ini belum ada berjumpa dengan mereka dan perkara itu pun diketahui melalui laporan akhbar yang menyatakan bahawa keyakinan mereka dalam kepimpinan DAP sudah berkurangan.

"Saya pun tidak tahu mana mereka nak pergi tetapi kalau mereka nak beralih ke mana-mana parti seperti Warisan, kita lihat dulu sebab mereka sebenarnya, sebabnya kita tak ingin bahawa ada unsur-unsur tertentu," katanya.

ADUN Sri Tanjong, Justin Wong dan ADUN Elopura, Calvin Chong bersama bekas senator DAP, Adrian Lasimbang mengumumkan keluar parti pada malam Khamis.