Kimma dekati 68,000 pengundi India Muslim

Ahmad (duduk, tengah) ketika sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Johor pada Ahad.
Ahmad (duduk, tengah) ketika sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Johor pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) akan mendekati kira-kira 68,000 pengundi di Johor menerusi jentera Jalinan Rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Kimma yang mempunyai 216 cawangan di negeri ini mengambil tindakan tepat dengan memulakan langkah awal bagi mendekati pengundi.

"Kimma selaku parti gabungan UMNO telah mulakan Program Retreat Kimma dan gerak gempur jentera pilihan raya pada Ahad. Saya difahamkan seramai 100 ahli Jalinan Rakyat ini akan diberikan kursus sepanjang program itu berlangsung.

"Kemudian, ahli Jalinan Rakyat ini akan mendekati pengundi India Muslim di Johor yang dianggarkan seramai 68,000. Daripada jumlah itu, seramai 48,326 merupakan ahli Kimma," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini pada Ahad.

Hadir sama, Presiden Kimma, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, Setiausaha Agung Kimma, Hussain Jamal dan Pengerusi Kimma Johor, Datuk Anwar Sadat.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, isu kerusi sama ada akan diperuntukkan kepada Kimma atau tidak pada PRN kali ini, tidak dibincangkan pada program terbabit.

"Hal kerusi tidak dibincangkan kerana ia akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO," katanya.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, ahli Jalinan Rakyat Kimma telah mendapat pendedahan awal dan latihan sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November.

Artikel Berkaitan:

"Sewaktu PRN Melaka, Kimma menghantar ahli Jalinan Rakyat dari Johor untuk membantu UMNO menghadapi PRN di sana. Selain itu, ia juga sebagai latihan kepada ahli Jalinan Rakyat untuk berdepan dengan PRN.

"Kita harap dapat terus mendekati lebih pengundi India Muslim sewaktu PRN Johor kali ini," katanya.