Fakulti MJIIT di bawah UTM jadi hab pengurusan bencana Asean

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), sebuah fakulti di bawah kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini dan institusi pendidikan berasaskan kejuruteraan Jepun yang pertama ditubuhkan di Malaysia, telah dinaik taraf sebagai hab pengurusan bencana di rantau Asean.

MJIIT ditubuhkan pada 2011 sebagai inisiatif pembangunan pendidikan dan sumber manusia di bawah Dasar Pandang Ke Timur dan disokong oleh satu konsortium yang terdiri daripada 29 universiti Jepun.

Menurut Penyelaras Pengurusan Bencana UTM dan MJIIT, Profesor Dr Muhamad Ali Muhammad Yuzir, institut itu baru-baru ini menganjurkan Persidangan Serantau Bencana Alam (RCND) ke-9 di bawah Jaringan Universiti ASEAN/ Rangkaian Pembangunan Pendidikan Kejuruteraan Asia Tenggara (AUN/SEED).

AUN/SEED ialah projek di bawah Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) bertujuan membolehkan Asia Tenggara dan Jepun membangun secara mampan menerusi sumber manusia yang inovatif dan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan.

"Mempunyai rakan sejawat dari Jepun dalam pengurusan bencana akan membolehkan Malaysia berkembang maju dalam kesiapsiagaan dan ketahanan menghadapi bencana. Jepun, seperti yang anda tahu, mempunyai pengalaman yang luas dan teknologi terkini dalam meminimumkan terjadinya insiden bencana,” katanya kepada Bernama.

"Peranan MJIT diperluas menerusi kerjasama rakan sejawat ini, bukan sahaja kami menganjurkan dan bertukar ilmu menerusi persidangan, kami juga mengalu-alukan pelajar lepasan ijazah Sarjana Muda dari rantau ASEAN untuk menjadi sebahagian daripada Program Pendidikan Kolaboratif (CEP) menerusi program cendekiawan muda Jaringan Kejuruteraan Lestari (SEEN), iaitu pelajar yang layak, menerima biasiswa daripada MJIIT menerusi JICA dan AUN/SEED- Net,” katanya.

Muhammad Ali berkata, program itu memberi peluang kepada cendekiawan muda untuk mengadakan latihan amali dan industri di Jepun dan Indonesia, sebagai sebahagian daripada keperluan projek penyelidikan mereka.

"Kita juga mempunyai program kerjasama ijazah Sarjana Sains Alam Sekitar dan Kelestarian, yang ditandatangani antara Universiti Tsukuba dan MJIIT. Kurikulum akademik program berkenaan mendapat akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia yang diiktiraf Kerajaan Malaysia. Pelajar akan mengikuti pengajian selama setahun di MJIIT dan kemudian setahun di Tsukuba. Pelajar terlibat akan menerima ijazah Sarjana yang diperakui oleh kedua-dua universiti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai tambahan kepada program berasaskan kejuruteraan Jepun yang disedikan MJIIT, para pelajar turut didedahkan kepada budaya dan bahasa Jepun serta kemahiran bagi menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) selain memenuhi Dasar Pandang Ke Timur 2.0.

Dasar Pandang Ke Timur menyambut ulang tahun ke-40 tahun ini dan asas yang kuat dibina dalam pendidikan berasaskan kejuruteraan Jepun setakat ini telah membuka jalan kepada MJIIT untuk terus membangun ke arah menjadi hab pendidikan serantau.

Sementara itu Fatin Syahirah Othman yang baru sahaja menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) Kejuruteraan Alam Sekitar di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar MJIIT berkata, beliau memilih MJIIT kerana institut itu memberi peluang kepadanya untuk berinteraksi dengan pelajar-pelajar antarabangsa dan membolehkannya membina jaringan profesional untuk kerjayanya pada masa akan datang.

"Selepas menamatkan pengajian ijazah Sarjana Muda, UTM telah menggalakkan saya untuk melanjutkan pengajian secara ‘fast-track’ program PhD, yang bermaksud saya akan melangkau ijazah Sarjana dan terus mengambil PhD.

"Kami mempunyai lebih 74 makmal penyelidikan dan pembelajaran, serta i-Kohza (kumpulan pendidikan dan penyelidikan Jepun) yang cukup berdedikasi, dan setiap i-Kohza sememangnya membantu pelajar antarabangsa dari pelbagai negara. Suasana penyelidikan itu sangat unik, memandangkan anda mempunyai persekitaran pengajian global sendiri, tanpa perlu ke luar negara,” katanya.

Selain itu, pelajar tajaan MJIIT bagi ijazah Sarjana dan PhD di bawah CEP-SEEN, Laila Dina Amalia Putra dari Indonesia berkata pengajiannya memberi fokus pada kajian rawatan sisa kumbahan lanjutan.

"Semasa saya melakukan ijazah Sarjana, fokus kajian adalah pada kerja-kerja makmal berkaitan rawatan sisa kumbahan lanjutan dalam bidang sains alam sekitar. Topik ini, secara khusus boleh terus dibangunkan kerana terdapat banyak peluang untuk usaha sama antara universiti dengan industri,” katanya yang teruja untuk menamatkan pengajian PhDnya tahun ini.

MJIIT telah melahirkan 935 pelajar Sarjana Muda dan 558 pelajar ijazah Sarjana sejak 2015, dan kebanyakan mereka telah mendapat pekerjaan di Jepun, Malaysia dan lain-lain. - Bernama