Asingkan sampah pukal banjir, sampah domestik: Datuk Bandar

Zamani (dua kiri) menyampaikan sumbangan periuk serba guna kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada Ahad.
Zamani (dua kiri) menyampaikan sumbangan periuk serba guna kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menggesa penduduk di kawasan terjejas banjir agar mengasingkan sampah pukal banjir dengan sampah domestik memandangkan operasi kutipan kini beroperasi seperti biasa.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, pihaknya sudah memberikan tempoh sehingga 17 Januari lalu kepada penduduk untuk menguruskan sampah pukal akibat banjir di kediaman masing-masing.

Menurutnya, jadual operasi sampah pukal kini kembali seperti biasa iaitu pada Sabtu atau Ahad sahaja selepas kerja pembersihan sampah pukal selesai 100 peratus mengikut jadual yang telah ditetapkan sebelum ini.

"Cuma saya minta penduduk yang masih mempunyai baki sampah pukal banjir agar mengeluarkan sampah itu pada hari Sabtu atau Ahad, diletakkan di hadapan rumah sahaja bukan di jalan besar.

"Kita berharap penduduk asingkan sampah berkenaan sebab sampah domestik busuk dan kutipan sampah domestik juga kembali seperti biasa iaitu tiga hari seminggu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan periuk serba guna kepada 1,525 mangsa banjir di empat kawasan terjejas di kawasan pentadbiran MBSA termasuk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, pada Ahad.

Zamani berkata, sehubungan itu, beliau berharap penduduk di kawasan terjejas banjir di kawasan pentadbiran MBSA agar mengambil maklum mengenai perkembangan itu bahawa tiada lagi kutipan sampah pukal secara harian.

"Pada minggu terakhir Disember sehingga 17 Januari lalu, kita memang fokus kepada sampah pukal mangsa banjir tetapi sekarang operasi kutipan kembali kepada asal.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap penduduk dapat beri kerjasama dan bersabar kerana kutipan sampah pukal pada hujung minggu sahaja," katanya.

Mengulas mengenai program sumbangan periuk serba guna itu, katanya, pemberian sumbangan itu membabitkan empat lokasi iaitu di Taman Sri Muda; Kampung Lanchong Jaya, Seksyen 17, Seksyen 28 dan Kampung Kebun Bunga, Batu 3.