Lebih 500,000 penduduk bakal nikmati perkhidmatan pembetungan moden

Kerja-kerja di tapak projek paip pembetung merentasi Sungai Kuantan menggunakan kaedah HDD giat dijalankan dan dijangka siap Jun tahun ini.
Kerja-kerja di tapak projek paip pembetung merentasi Sungai Kuantan menggunakan kaedah HDD giat dijalankan dan dijangka siap Jun tahun ini.
A
A
A

KUANTAN - Lebih 500,000 penduduk sekitar bandar Kuantan dan Kempadang di sini bakal menikmati akses perkhidmatan pembetungan moden melalui pelaksanaan Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Projek Pembetungan Bandar Kuantan yang dijangka siap Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, projek itu menggunakan kaedah 'Horizontal Directional Drill (HDD)' merupakan teknologi baharu dalam sistem pembetungan negara.

Menurutnya, projek yang menelan kos RM492.4 juta itu melibatkan komponen utama pemasangan paip pembetung berukuran 900 milimeter (mm) merentasi Sungai Kuantan sepanjang 802 meter.

"Proses pemasangan yang mengambil masa kira-kira tujuh bulan itu merupakan antara yang terpanjang dan terbesar menggunakan kaedah itu di negara ini.

"Apabila siap kelak, kemudahan ini dijangka mampu merawat sisa kumbahan sehingga 76,000 meter padu sehari sekaligus menyumbang kepada lestarian alam sekitar terutama sumber air di Kuantan dan kawasan sekitar," katanya.

Mansor (dua, kanan) menyempurnakan gimik pelancaran sambutan empat juta jam bekerja tanpa kecederaan sempena Majlis Pelancaran Paip Pembetung Merentasi Sungai Kuantan menggunakan kaedah HDD di tapak projek itu di Padang Lalang di sini pada Ahad.
Mansor (dua, kanan) menyempurnakan gimik pelancaran sambutan empat juta jam bekerja tanpa kecederaan sempena Majlis Pelancaran Paip Pembetung Merentasi Sungai Kuantan menggunakan kaedah HDD di tapak projek itu di Padang Lalang di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Paip Pembetung Merentasi Sungai Kuantan Menggunakan Kaedah HDD dan Sambutan Empat Juta Jam Bekerja Tanpa Kecederaan di tapak projek itu di Padang Lalang di sini pada Ahad.

Turut hadir,Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), Ahmad Rozian Othman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK),Datuk Hamdan Hussin.

Artikel Berkaitan:

Mansor berkata, pembinaan projek itu yang bermula pada September tahun lalu berjalan lancar dan kini mencapai lebih 87 peratus siap.

"Pihak kementerian percaya, projek ini dapat menyokong usaha kerajaan untuk memperluaskan perkhidmatan pembetungan di bandar-bandar utama kepada 85 peratus menjelang tahun 2025," katanya.

Sementara itu katanya, kejayaan empat juta jam bekerja tanpa kecederaan dalam pelaksanaan projek itu menandakan kesiapsiagaan pasukan projek dalam memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja dipatuhi pada tahan tertinggi.

"Ia juga hasil komitmen dan kerjasama semua pihak dalam mengambil langkah dan memberikan perhatian khusus kepada persekitaran pekerjaan yang sihat dan selamat dalam projek ini," katanya.