PRN Johor: UMNO tidak minta pandangan Bersatu, Pas

Mohd Solihan (tengah) melihat pemeriksaan kenderaan selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Puspakom Senai, Kulai pada Ahad.
Mohd Solihan (tengah) melihat pemeriksaan kenderaan selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Puspakom Senai, Kulai pada Ahad.
A
A
A

KULAI - [DIKEMAS KINI] Keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Sabtu untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mendapat persetujuan parti lain yang berkongsi kuasa kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Solihan Badri berkata, keputusan itu hanya melibatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta tiada perbincangan mengenainya sebelum itu.

"Tiada persetujuan daripada Bersatu atau Pas untuk pembubaran DUN. Saya tidak pasti sama ada perlu dapat persetujuan parti (yang membentuk kerajaan) atau tidak, tapi memang tiada minta pandangan kami, sama ada daripada Bersatu atau Pas.

"Pembubaran ini adalah kehendak UMNO. Prosesnya, Menteri Besar Johor rasa kehilangan (majoriti) dan rasa pentadbiran tidak stabil, jadi atas nasihat, Sultan Johor bersetuju dan ini akan dimaklumkan kepada Speaker serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Beluau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senai dekat sini pada Ahad.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada Sabtu.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam sidang akhbar pada Sabtu memberitahu, SPR akan menentukan tarikh PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mengulas lanjut, Mohd Solihan berkata, semasa mesyuarat Exco Negeri Johor yang diadakan pada Sabtu sebelum Menteri Besar Johor itu menghadap Sultan Johor, Hasni juga tidak meminta pandangan Exco berkenaan pembubaran DUN Johor.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi mesyuarat Exco semalam yang berlangsung selama kira-kira 20 minit, wajah Datuk Hasni dilihat 'tak happy' mungkin disebabkan 'under pressure'," katanya.

Berkenaan pembahagian kerusi DUN antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) Johor untuk PRN, beliau berkata, secara tidak rasmi proses tersebut sudah dilakukan dengan Pas sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang berkata, perkara tersebut akan dimuktamadkan sedikit masa lagi bersama-sama komponen PN untuk mendapat persetujuan.

Mengenai persediaan Bersatu Johor dalam menghadapi PRN, beliau berkata, parti sedia menyahut cabaran dan yakin mampu menubuhkan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) jika menang PRN akan datang.

"Kami sudah sedia, jentera Bersatu di kesemua 26 bahagian telah ditubuhkan sejak tahun lepas, kita sudah lantik pengerusi jawatankuasa setiap biro bahagian, peringkat Parlimen, DUN dan Pusat Daerah Mengundi (PDM), kita boleh gerak bila-bila masa," katanya.