Perhilitan siasat dakwaan kehadiran harimau di Santong

Kelibat harimau dirakam dalam satu klip video didakwa di Santong, Paka yang tular sejak malam Sabtu.
Kelibat harimau dirakam dalam satu klip video didakwa di Santong, Paka yang tular sejak malam Sabtu.
A
A
A

DUNGUN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sedang menyiasat kemunculan seekor harimau di kawasan Kampung Santong, Paka di sini yang tular dalam klip video sejak malam tadi.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, sehingga kini tiada laporan dibuat berhubung kejadian itu, namun pasukan Perhilitan sudah bergerak ke Santong, lokasi yang didakwa munculnya harimau belang berkenaan bagi melakukan siasatan.

"Kita juga berharap individu yang merakam video ini menghubungi Perhilitan untuk membantu supaya proses siasatan dapat dilakukan dengan lebih cepat," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Sejak malam Sabtu, tular satu klip video memaparkan kelibat harimau, dipercayai dirakam seorang pemandu kenderaan yang terserempak dengan haiwan itu yang keluar dari kawasan semak.

Berdasarkan klip video 33 saat itu, harimau berkenaan dilihat berlegar-legar di laluan berbatu sebelum masuk ke dalam semak.

Harimau belang tersebut didakwa haiwan yang sama menyerang lembu ternakan penduduk di Kampung Chabang, Kerteh pada 14 Januari lalu.

Artikel Berkaitan: