Malaysia lulus FDI RM80.5 bilion pada 2018

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menikmati pertumbuhan ekonomi menggalakkan, dengan RM80.5 bilion pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan bagi semua sektor pada 2018, melonjak sebanyak 48 peratus daripada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah keseluruhan itu, RM26.5 bilion FDI diluluskan pada separuh pertama 2018, dan bakinya RM54 bilion pada separuh kedua.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, negara turut menyaksikan peningkatan 3.2 peratus tahun ke tahun dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) bagi Januari 2019, iaitu lebih baik daripada konsensus pasaran sebanyak 2.3 peratus yang ditunjukkan dalam kaji selidik Bloomberg baru-baru ini.

"Ini adalah konsisten dengan angka keseluruhan positif yang dicatatkan Malaysia, dan trend itu mungkin akan berterusan dalam masa terdekat di sebalik pelbagai cabaran luaran,” katanya.

Mengulas peningkatan FDI, Guan Eng berkata, peningkatan itu menonjolkan peranan penting dimainkan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau yang stabil, serta selamat bagi rantaian bekalan antarabangsa di tengah-tengah perang perdagangan yang berlarutan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

"Pastinya, FDI yang dirancang oleh syarikat pembuatan dari China melonjak 410.8 peratus kepada RM19.7 bilion pada 2018 daripada RM3.9 bilion pada 2017.

"Pada masa yang sama, pelaburan pembuatan yang diluluskan daripada AS meningkat 184.9 peratus kepada RM3.2 bilion pada 2018 daripada RM1.1 bilion sebelumnya," katanya.

Selain daripada dua gergasi ekonomi itu, Guan Eng berkata, pelabur Indonesia juga berhasrat melabur RM9 bilion pada 2018 daripada hanya RM500,000 pada 2017, menjadikan republik itu sumber kedua terbesar pelaburan pembuatan asing selepas China.

Artikel Berkaitan:

FDI yang diluluskan merupakan petunjuk utama penting dalam menyediakan maklumat penting tentang kekukuhan sesebuah ekonomi. - Bernama