Perak tanggung hutang Telekom RM6.8 juta

Hasnul Zulkarnain
Hasnul Zulkarnain
A
A
A
IPOH - Persidangan Dun hari ini dimaklumkan berlaku kepincangan dalam pengurusan KPerak, anak syarikat kerajaan negeri di bawah pentadbiran terdahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mendedahkan KPerak mempunyai hutang bil berjumlah RM6.8 juta dengan Telekom Malaysia.

Beliau berkata maklumat yang diterima daripada pejabat kewangan negeri, setiap tahun KPerak menerima antara RM8 juta hingga RM10 juta dengan RM2.4 juta daripadanya untuk pembayaran bil kepada Telekom.

"Bagaimanapun berlaku kepincangan dalam tiga tahun terakhir yang mana KPerak gagal membayar hutang kepada Telekom walaupun kerajaan negeri bagi peruntukan tahunan kepada KPerak.

"Ini satu kepincangan yang amat nyata, maka kerajaan negeri yang sekarang ini terpaksa menanggung hutang RM6.8 juta dengan Telekom," katanya semasa menjawab soalan tambahan Terence Naidu (PH-Pasir Bedamar) pada Persidangan Dun Perak ke-14 di sini, hari ini.
Artikel Berkaitan:


Terence ingin tahu punca KPerak gagal membayar hutang dengan Telekom berjumlah RM6.8 juta.

Hasnul yang juga Adun Titi Serong berkata kerajaan negeri sedang dalam perbincangan dengan Telekom untuk membayar hutang tersebut secara ansuran.

Selain itu, katanya kerajaan negeri sedang mengambil tindakan terhadap pihak yang berkenaan. - Bernama