'Mengapa tidak boleh tunggu hingga keadaan stabil'

Dari kiri: Syed Ibrahim, Aminolhuda
Dari kiri: Syed Ibrahim, Aminolhuda
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor tetap mengambil langkah mempersiapkan diri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor biarpun menyifatkan PRN kali ini bukanlah masa yang sesuai.

Menerusi kenyataan bersama Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, perkembangan tersebut berdasarkan beberapa faktor antaranya penyebaran jangkitan varian Omicron, banjir dan isu ekonomi yang dihadapi rakyat dan negara ketika ini.

Tambah kenyataan tersebut, pelaksanaan PRN yang bakal menelan belanja sekurang-kurangnya RM150 juta juga dilihat suatu pembaziran wang rakyat.

"Kerana itulah PH Johor sebagai blok pembangkang terbesar di Dewan Negeri telah memberikan kerjasama agar pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik.

"Penggal pentadbiran berbaki kurang lebih setahun sahaja lagi. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil?" kata kenyataan itu pada Ahad.

Pihak tersebut turut mendakwa bahawa tindakan mencetuskan PRN oleh UMNO dilihat sebagai satu helah untuk mengambil kesempatan berikutan ramai rakyat di negeri ini berhadapan kesukaran untuk pulang mengundi.

Pada Sabtu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

Pada pertemuan bersama Sultan Johor itu, Hasni diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran DUN Johor.