Tiga 'port' dadah diserbu, 41 ditahan

Antara individu yang ditahan dalam Ops Tapis Khas dan Ops Sarang.
Antara individu yang ditahan dalam Ops Tapis Khas dan Ops Sarang.
A
A
A

TAMPIN - Seramai 41 penagih dadah bersama tokan ditahan di tiga kawasan Felda di Tampin dan Gemas dalam Ops Tapis Khas serta Ops Sarang pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, kesemua individu yang ditahan berusia lingkungan 27 hingga 65 tahun yang mana salah seorangnya adalah wanita.

Menurutnya, operasi kali ini menumpukan 'port' atau sarang penagihan dadah di daerah Tampin terutama di kawasan Felda.

"Pemeriksaan di sekitar Tampin dan Felda Bukit Jalur berjaya menahan sembilan penagih dan merampas empat gram dadah jenis heroin dan empat gram syabu.

"Serbuan yang dijalankan di port dadah di kawasan Felda Sungai Kelamah, Gemas pula berjaya menahan seramai 13 penagih bersama tokan yang terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Antara dadah yang dirampas dalam operasi itu.
Antara dadah yang dirampas dalam operasi itu.

Anuwal berkata, di lokasi itu dadah yang dirampas ialah dadah jenis heroin seberat 60 gram serta dadah jenis syabu seberat tujuh gram dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM3,500.

Selain itu katanya, serbuan di kawasan Felda Jelai 4, Gemas pula telah menahan 19 lelaki berusia 27 hingga 65 tahun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dadah yang dirampas adalah dadah jenis heroin seberat 35 gram dan dadah jenis syabu seberat enam gram dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,300.

"Seramai 12 penagih akan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 memandangkan mempunyai dua rekod lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Kesemua suspek direman antara empat hingga tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.