MABA idam miliki pemain naturalisasi

Tian Hock
Tian Hock
A
A
A

PERSATUAN Bola Keranjang Malaysia (MABA) berharap untuk mempunyai pemain naturalisasi dalam masa enam tahun lagi bagi mengimbangi komposisi pasukan sekali gus memperkuat skuad negara.

Presidennya, Datuk Lee Tian Hock berkata, badan induk itu mengidamkan pemain dari negara seperti Bosnia dan Serbia yang mempunyai kelebihan fizikal (ketinggian) yang amat diperlukan untuk meningkatkan keupayaan skuad negara bersaing dengan pasukan lain.

"Kami akan mengenal pasti mereka, muda, mungkin dalam lingkungan umur 12 tahun atau 13 tahun untuk dibawa ke sini dan di sini kita akan mencari tempat di mana mereka boleh mendapatkan kemudahan pendidikan, penginapan dan latihan.

"Kita harap kerajaan bersetuju, kita harap Kementerian Belia dan Sukan atau Kementerian Luar Negeri boleh dan akan tolong.

"Kita akan meminta mereka membenarkan 10 orang atau 20 orang dalam lingkungan umur itu untuk dibawa masuk," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco MABA kali pertama di Wisma MABA.

Mengenai persediaan menghadapi kejohanan Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada 12 Mei nanti, Tian Hock berkata, pihaknya akan menganjurkan satu kejohanan jemputan pada April untuk mempersiapkan pasukan kebangsaan.

"Untuk pasukan lelaki, kita telah disenarai pendekkan kepada 16 pemain dan berdasarkan pertandingan itu nanti kami akan pilih 12 pemain yang akan mewakili negara dan bagi pasukan perempuan mereka masih lagi dalam proses pemilihan untuk disenaraipendekkan kepada 16 pemain," katanya.

Berdasarkan rekod, skuad lelaki negara pernah membawa pulang pingat dalam acara 5x5 pada Sukan SEA 2007 di Thailand selepas memperoleh gangsa sementara skuad wanita membawa pulang emas pada Sukan SEA 2017 di sini namun gagal memenangi sebarang pingat dalam edisi 2019.

Artikel Berkaitan: