Spot & Win sasar 60 pemenang di NS, Melaka

Ummi Maryam (kanan) dan dua pemenang peraduan Spot & Win.
Ummi Maryam (kanan) dan dua pemenang peraduan Spot & Win.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 60 pemenang bertuah disasarkan dalam peraduan 'Spot & Win' yang dianjurkan sempena konvoi #RasuahBusters pada siri kedua di Negeri Sembilan dan Melaka.

Ketua Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, program yang berlangsung empat hari bermula Khamis lalu itu menawarkan hadiah wang tunai kepada individu bertuah yang diterjah 'pasukan pengintai' kerana kenderaan mereka ditampal dengan pelekat khas konvoi #Rasuah Busters.

"Pada siri pertama konvoi diadakan di Lembah Klang baru-baru ini, kita dapat sambutan agak luar biasa apabila menerima 50 pemenang dan sebab itu ia diteruskan.

"Untuk hari ketiga program ini di Negeri Sembilan, sudah 25 individu bertuah terima wang tunai dan kita sasarkan dalam tempoh empat hari ini seramai 60 pemenang, " katanya ketika ditemui pada Program Singgah Santun Rasuah Busters Sempena Kempen Cintai al-Quran di Masjid Kariah Arraudah Taman Rasa Sayang di sini pada Sabtu.

Jelasnya, pelekat edisi khas Sinar Harian Rasuah Busters itu boleh didapati di dalam akhbar Sinar Harian yang boleh dibeli sehari sebelum konvoi Rasuah Busters atau di lokasi jelajah konvoi.

Kata Nik Justin, maklumat berkenaan lokasi jelajah boleh didapati di semua platform media sosial Rasuah Busters dan Sinar Harian.

"Kita tawarkan keseluruhan wang tunai berjumlah RM25,000 sempena konvoi #RasuahBusters ke seluruh negara dan ia sebagai tanda penghargaan di atas kesetiaan kepada Sinar Harian.

"Jangan tanya jumlah wang tunai yang anda akan dapat tapi saya boleh katakan ia agak lumayan dan jangan lepaskan peluang ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penduduk, Ummi Maryam Abdul Ghani, 48, tidak menyangka kerana menjadi antara lima pemenang peraduan itu yang diadakan di Taman Rasa Sayang pada Sabtu.

Katanya, paling menggembirakan kerana kali pertama sepanjang hidupnya menerima hadiah berupa wang tunai dengan hanya mengeluarkan modal RM1.50 untuk membeli akhbar Sinar Harian.

"Saya rasa sangat bertuah kerana keluar modal kecil saja untuk beli akhbar Sinar Harian tapi dapat pulangan wang tunai yang agak menarik.

"Ini bukan rasuah, tapi hadiah buat mereka yang bertuah. Terima kasih Sinar Harian dan Rasuah Busters," katanya.

Sementara itu bercakap berkenaan dengan program konvoi Rasuah Busters, Ummi Maryam berkata, ia perlu disokong oleh semua pihak dan diperhebatkan kerana isu rasuah perlu diberi kesedaran secara lebih meluas.