Pengunjung sanggup keluar awal pagi

Orang ramai memilih buku kegemaran mereka pada hari kedua Jualan Gudang Karangkraf 2022 di Shah Alam pada Sabtu.
Orang ramai memilih buku kegemaran mereka pada hari kedua Jualan Gudang Karangkraf 2022 di Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Masuk hari kedua Jualan Gudang Karangkraf 2022, rata-rata pengunjung tidak mahu terlepas peluang mencari buku yang menjadi kegemaran mereka.

Jualan Gudang tersebut bukan sahaja menawarkan pelbagai genre bahan bacaan yang berkualiti tinggi, malah pengunjung dapat menikmati pembelian pada harga serendah RM1.

Salah seorang pengunjung, Suzana Ismail, 40, memberitahu, dia dan keluarga berasa sangat teruja dengan harga yang ditawarkan, malah sanggup keluar awal pagi kerana tidak mahu terlepas peluang.

Suzana (dua dari kiri) bersama anak-anak teruja dapat hadir ke Jualan Gudang Karangkraf 2022.
Suzana (dua dari kiri) bersama anak-anak teruja dapat hadir ke Jualan Gudang Karangkraf 2022.

Dia turut mengakui program sedemikian sangat bagus memandangkan anak-anaknya gemar membaca.

“Bila dapat tahu ada program jualan murah seperti ini, awal pagi lagi memang kita datang. Manfaatkan peluang yang ada, pilih buku yang menjadi kegemaran masing-masing.

“Macam saya sendiri memilih untuk membeli al-Quran, manakala anak-anak saya beli novel, komik dan buku-buku akademik. Semua buku yang ditawarkan juga sangat menarik dan bermanfaat,” katanya kepada Sinar Ahad di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.

Sementara itu, Farhan Khairuddin, 26, mengakui jualan gudang adalah satu inisiatif yang baik kerana dapat memberi peluang kepada pengunjung mencari buku kegemaran mereka.

Artikel Berkaitan:

Farhan
Farhan

“Dari segi harga pula, memang tersangat murah. Selalunya novel dijual lebih RM20 sebuah, tetapi di sini dijual secara bundle. Beli 10 buah dapat RM30.

“Jadi, hari ini saya beli hampir 30 buah novel. Itupun untuk kakak saya kerana dia seorang penggemar novel,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Sahabuddin Arshad, 50, memberitahu, dia sangat berpuas hati dengan jualan yang dianjurkan kerana bukan sahaja menawarkan pelbagai variasi buku mengikut peringkat umur, tetapi harga ditawarkan sangat murah dan mampu milik.

 Sahabuddin
Sahabuddin

“Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati. Banyak buku untuk kita pilih dan ini sudah kali ketiga saya datang ke Jualan Gudang anjuran Karangkraf. Kebetulan anak-anak pun ikut sama mencari novel kegemaran mereka,” katanya.

Bagi Wan Nur Zafira Afiqah Wan Mohd Azlan, 28, dia berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kepada pengunjung kerana ia dijaga serta dikawal dengan baik.

“Seorang pengunjung akan diberikan tag nombor. Jadi, kemasukan orang ramai ke dalam premis jualan adalah terkawal. Pada masa sama, pengunjung hanya diberikan masa 30 minit sahaja untuk membeli.

Pengunjung menunggu giliran untuk memasuki premis jualan di Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.
Pengunjung menunggu giliran untuk memasuki premis jualan di Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

“Bagi saya, ia memadai kerana orang lain yang sedang menunggu giliran untuk masuk ke premis tidak perlu menunggu terlalu lama,” tambahnya.

Pekerja swasta, Nurul Jannah Mohd Sanif, 38, pula berkata, walaupun masa yang diberikan kepada pengunjung lebih kurang 30 minit sahaja, tetapi ia sudah memadai untuk dia mencari buku yang diinginkan.

Nurul Jannah
Nurul Jannah

“Bagi saya, masa yang diberikan cukup kerana saya sudah membuat pilihan lebih awal buku mana yang hendak dibeli. Tetapi, kalau mereka yang datang baru nak tengok dan pilih, mungkin masa itu tidak cukup.

“Pihak Karangkraf mungkin boleh menyediakan tempat yang lebih besar dan lapang pada masa akan datang. Jadi, pelanggan boleh memilih buku dengan tenang tanpa perlu terkejar-kejar.

“Tapi sekarang ini mungkin sebab Covid-19 masih belum reda, jadi perlu mengehadkan pergerakan dan masa dengan mematuhi SOP yang ditetapkan,” ujarnya.

Jualan Gudang Karangkraf 2022 berlangsung selama 10 hari bermula 21 hingga 30 Januari ini.

Waktu operasi bermula pada jam 9 pagi hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat, manakala Sabtu dan Ahad pula dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam.

Suasana Jualan Gudang Karangkraf 2022 pada hari kedua.
Suasana Jualan Gudang Karangkraf 2022 pada hari kedua.