Nasib Ahmad Zahid diketahui esok

 Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan atau dipanggil untuk membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi akan diketahui pada Isnin.

Ia akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah pada jam 9 pagi.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pasukan pendakwaan, yang berpendapat wujud prima facie, bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dipanggil untuk membela diri.

Ahmad Zahid itu akan diberi pilihan iaitu pertama, beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan dan kedua, beliau boleh memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Sementara pilihan terakhir, Ahmad Zahid memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Namun jika mahkamah mendapati tidak wujud prima facie dalam kes ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Ini pastinya akan memberi lembaran baharu dalam karier politik Ahmad Zahid, sekali gus dapat menamatkan perjalanannya ke kompleks mahkamah ini sejak empat tahun lalu.

Mahkamah telah mendengar keterangan daripada 99 saksi pendakwaan sejak 18 November 2019 malah meneliti hujahan daripada pihak pendakwaan serta pembelaan selama 24 hari bermula 6 September 2021.

Artikel Berkaitan:

Antara hujahan daripada peguam yang mewakili Ahmad Zahid ialah pasukan pendakwaan melakukan kesilapan kerana menghujahkan bahawa sumbangan diterima Yayasan Akalbudi adalah membabitkan aktiviti haram selain menekankan bahawa Yayasan Akalbudi yang diasaskan oleh Presiden UMNO itu, menerima sumbangan daripada Yayasan Albukhary.

Pembelaan juga berhujah, Ahmad Zahid sepatutnya menerima imuniti pendakwaan mahkamah kerana mendedahkan semua maklumat berkaitan transaksi melibatkan yayasannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, pasukan pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa kenyataan pembelaan supaya Ahmad Zahid menerima imuniti daripada pendakwaan kerana memberi keterangan kepada SPRM disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Selain itu, pendakwaan juga berhujah bahawa Ahmad Zahid ialah ‘bos’ yang mempunyai kuasa serta kawalan penuh ke atas aset Yayasan Akalbudi.

Selaku pemegang amanah Yayasan, pendakwaan berkata, Ahmad Zahid mempunyai kawalan dan kuasa penuh ke atas aset yayasan itu dan secara tidak jujur telah menyeleweng jutaan ringgit dana itu.

Pada 19 Mac 2021, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi termasuk bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co B. Muralidharan, pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif, Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Pasukan pendakwaan dalam kes itu diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala pembelaan terdiri daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh.