X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Cari untung jual sijil digital vaksin palsu

PDRM kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu-individu yang mendaftar sebagai penerima sijil digital vaksin palsu di aplikasi MySejahtera.
A
A
SINDIKET menjual sijil digital vaksin palsu kepada orang ramai semakin menular, khususnya di negeri Selangor, Johor, Terengganu dan Kelantan sejak kebelakangan ini.

Penularan sindiket menjual sijil digital vaksin palsu itu dipercayai menyasarkan golongan antivaksin Covid-19 yang tertumpu di klinik-klinik swasta di negeri-negeri berkenaan.

Kegiatan menjual sijil digital vaksin palsu sebenarnya telah mencemari hasrat murni misi nasional Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dijalankan bagi membendung pandemik, sekali gus menyelamatkan nyawa dan menjamin kesihatan rakyat jelata.

Akhbar harian Tamil, Makkal Osai melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam serbuan berasingan di Gombak, Selangor dan Johor Bahru, Johor serta Kota Bharu, Kelantan telah berjaya menangkap sekumpulan individu yang terbabit dalam sindiket menjual sijil digital vaksin palsu baru-baru ini.

Semua serbuan itu dilakukan di beberapa klinik swasta.

Lebih menggemparkan, klinik-klinik swasta berkenaan telah memperoleh kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai panel yang menawarkan perkhidmatan memberi suntikan vaksin Covid-19 di bawah PICK kepada orang awam.

Menurut Makkal Osai, selain menawarkan suntikan vaksin, pihak pengurusan swasta terbabit didapati turut melayan permintaan golongan antivaksin.

Golongan yang tidak berminat mengambil vaksin itu ditawarkan pemberian sijil digital vaksin palsu dengan dikenakan bayaran tinggi, sekali gus memberikan pendapatan lumayan kepada klinik-klinik swasta tersebut.

Hasil siasatan pihak PDRM mendapati, pada awalnya ada klinik telah menetapkan harga tinggi mencecah RM3,000 untuk membeli sijil digital vaksin palsu.

Bagaimanapun, harga tersebut terpaksa dikurangkan apabila wujud sindiket-sindiket lain yang mula menawarkan harga lebih murah.

Misalnya, sebuah klinik swasta di Selangor telah menawarkan harga serendah RM500 dan paling tinggi RM3,000, manakala di Johor pula harganya bermula daripada RM125 sehingga RM300.

Jelas Makkal Osai lagi, sindiket klinik-klinik swasta itu juga melakukan pembaziran vaksin dengan bertindak membuang vaksin Covid-19 jika ada mana-mana individu enggan menerima suntikan.

Ironinya, klinik swasta berkenaan akan mengembalikan botol-botol vaksin yang kosong kepada KKM sebagai bukti mereka telah menyempurnakan tanggungjawab diamanahkan.

Dalam pada itu, siasatan PDRM terhadap data-data terkandung di dalam komputer riba yang dirampas ketika serbuan berkenaan telah membantu membongkar operasi sindiket terbabit.

PDRM kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu-individu yang mendaftar sebagai penerima sijil digital vaksin palsu di aplikasi MySejahtera.

PDRM juga menegaskan, kes sindiket sijil digital vaksin palsu masih terkawal dan operasi mereka juga dipantau rapi.

Menurut Makkal Osai, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din telah memberi amaran kepada orang ramai, pengamal perubatan dan pembantu klinik-klinik swasta supaya tidak terlibat dalam kes sindiket sijil digital vaksin palsu.

PDRM tidak akan berkompromi, malah akan mengambil tindakan keras terhadap individu terlibat dalam urusan jual beli sijil digital vaksin palsu.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!