Vidakovic ganti Zainal Abidin di Melaka United

Risto Vidakovic
Risto Vidakovic
A
A
A

MELAKA United mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baharu, Risto Vidakovic dari Bosnia Herzegovina bagi menggantikan Zainal Abidin Hassan.

Melaka United memaklumkan pengalaman luas Vidakovic diharap akan memantapkan persiapan skuad Hang Tuah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

"Pengendali berusia 53 tahun itu menyertai Melaka United dari kelab Liga 1 Indonesia, Borneo FC selain pernah membimbing beberapa kelab Eropah dan Asia dan pernah bersama skuad kebangsaan Serbia selaku penolong jurulatih sekitar 2006 hingga 2007.

"Antara kelab yang pernah mendapat khidmat beliau termasuk kelab Sepanyol seperti Real Murcia, Ecija Cadiz dan Real Betis B selain pernah membimbing kelab Honduras, Motagua; kelab Filipina, Ceres-Negros; kelab Maldives, Maziya sebelum menyertai Borneo FC," menurut kenyataan itu.

Sepanjang bergelar jurulatih, Vidakovic telah membantu kejuaraan hatrik Ceres-Negros dalam saingan Liga Bola Sepak Filipina pada 2017, 2018 dan 2019 selain membawa Maziya menjuarai Dhivehi Premier League 2020-2021.

Dalam pada itu, Melaka United dalam kenyataan berasingan mengesahkan Zainal Abidin tidak lagi menyambung khidmatnya sebagai pengendali musim ini.

Jurulatih berusia 60 tahun itu telah mengemudi pasukan itu selama tiga tahun dan sepanjang membimbing Melaka United, Zainal Abidin telah membawa skuad Hang Tuah berada di pencapaian terbaik setakat ini dalam saingan Liga Super negara iaitu di tempat keenam liga pada musim 2019.

Di bawah bimbingannya, beliau turut berjaya membawa Melaka United mencipta kejayaan mara ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia musim lepas yang menyamai pencapaian pada 38 tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Kami di Melaka United FC amat menghargai segala yang telah beliau curahkan buat pasukan dan bola sepak negeri Melaka dan mendoakan semoga beliau maju jaya dalam karier kejurulatihan dan dapat terus mencurahkan bakti dalam sukan bola sepak negara.

"Terima kasih Zainal Abidin Hassan, jasa anda akan tetap kami kenang selamanya,” menurut kenyataan itu.