X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Iswami anjur bacaan Yasin, doa selamat untuk kesihatan Dr Mahathir

Dr Mahathir
A
A

KUALA LUMPUR - Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) menganjurkan bacaan doa selamat dan Yasin bagi kesihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang diadakan secara maya malam Sabtu.

Seramai 50 peserta terdiri daripada warga media tempatan dan juga dari negara jiran itu menyertai majlis berkenaan yang bermula pada 9.15 malam, dengan bacaan doa selamat dan tahlil diketuai penolong pengurus bahagian teknikal Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Asri Junin.

Presiden ISWAMI Malaysia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Mokhtar Hussain, Presiden ISWAMI Indonesia Asro Kamal Rokan dan Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus turut hadir dalam majlis yang berlangsung selama 45 minit itu.

Turut menyertai majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarang (Perniagaan dan Kewangan) Roslan Ariffin dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Harlina Samson.

Wartawan kanan dari Malaysia dan Indonesia serta wakil dari Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Jabatan Perdana Menteri, petugas Bernama dan agensi berita rasmi Indonesia, Antara turut menyertainya.

Pengamal media mula berkumpul di luar Institut Jantung Negara (IJN) sejak 12 tengah hari Sabtu bagi mendapatkan perkembangan terkini status kesihatan Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Datin Paduka Marina yang merupakan anak Ahli Parlimen Langkawi itu memaklumkan keadaan bapanya kini stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Januari lepas.

Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Januari dan beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut tersebut dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Januari. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!