Polis siasat himpunan #TangkapAzamBaki bawah Akta Perhimpunan Awam

Amihizam (kanan) turut berada di Jalan Bangsar memantau himpunan #TangkapAzamBaki yang dijalankan di Stesen LRT Bangsar, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Amihizam (kanan) turut berada di Jalan Bangsar memantau himpunan #TangkapAzamBaki yang dijalankan di Stesen LRT Bangsar, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan melakukan siasatan lanjut berhubung himpunan #TangkapAzamBaki yang diadakan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, Jalan Bangsar di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, tindakan peserta demonstrasi terbabit yang berhimpun sekali gus ingkar arahan pihak berkuasa yang melarang sebarang perhimpunan diadakan di ibu negara.

"Polis akan melaksanakan siasatan lanjut berkaitan perhimpunan ini di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang dikesan masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan tanpa kelulusan yang sah daripada pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas mengenai kawalan sepanjang himpunan terbabit, beliau berkata, penugasan Op Aman sempena perhimpunan anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang telah diadakan di sekitar kawasan Bangsar, Kuala Lumpur bermula pada jam 8 pagi.

Jelasnya, ia melibatkan seramai 21 orang pegawai kanan polis dan 205 anggota polis IPD Brickfields termasuk bantuan daripada Pasukan

Simpanan Persekutuan (FRU), bantuan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur dan Unit Drone Pasukan Gerakan Udara (PGU).

Antara anggota polis bertugas melakukan pemantauan ketika himpunan #TangkapAzamBaki yang dijalankan di LRT Bangsar, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Antara anggota polis bertugas melakukan pemantauan ketika himpunan #TangkapAzamBaki yang dijalankan di LRT Bangsar, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan lencongan di beberapa jalan di sekitar kawasan Bangsar, Kuala Lumpur.

"Antara lokasi penugasan yang dijalankan kawalan keselamatan ialah di LRT Bangsar, LRT Universiti, MRT Muzium Negara dan MRT Hotel St Regis.

"Dianggarkan seramai 50 orang peserta perhimpunan mula berkumpul di LRT Bangsar mulai jam 10.45 pagi dengan memakai baju bewarna hitam, kemudian pada jam 11.45 pagi, jumlah peserta perhimpunan dianggarkan seramai 400 orang serta mula berarak dengan membawa kain rentang bercetak 'Tangkap' ke Jalan Travers sehingga di persimpangan lampu isyarat ke Pekan Brickfields," katanya.

Jelasnya, selesai ucapan ketua himpunan berkenaan yang berlangsung selama 30 minit, peserta himpunan bergerak kembali ke LRT Bangsar dan bersurai secara berperingkat.

"Lencongan jalan mulai dibuka pada jam 12.50 tengah hari setelah semua peserta perhimpunan beredar meninggalkan LRT Bangsar.

"Hasil pemeriksaan dan pemerhatian, pihak polis mendapati beberapa orang ahli Parlimen, ADUN, ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam yang turut sama menyertai perhimpunan ini," katanya.

Tegas beliau, semua pihak diminta agar mematuhi segala undang-undang ditetapkan dan mengikut saluran yang betul khususnya dalam menyuarakan pendapat.

"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang dikesan masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan tanpa kelulusan yang sah," katanya.