51 kes daripada 984 laporan AEFI dos penggalak diklasifikasi serius

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 51 kes (5.2 peratus) daripada 984 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) bagi dos penggalak vaksin Covid-19, bersamaan kadar 0.005 laporan bagi setiap 1,000 dos, diklasifikasikan sebagai serius setakat 20 Januari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhannya, sistem pelaporan AEFI Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menerima sejumlah 24,411 laporan AEFI melibatkan dos penggalak.

"Pemantauan laporan AEFI yang diterima oleh NPRA setakat ini menyimpulkan bahawa trend dan kadar pelaporan AEFI yang melibatkan dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada apa yang dilihat semasa pemberian dos primer.

“Trend pelaporan yang sama juga turut dilaporkan oleh negara lain yang telah menjalankan program imunisasi bagi dos penggalak vaksin Covid-19,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan merupakan antara kesan advers yang kerap dilaporkan oleh penerima vaksin.

Penerima vaksin yang mengalami kesan advers boleh membuat laporan AEFI menerusi notifikasi di aplikasi MySejahtera bagi kesan tersenarai di dalam aplikasi itu selain laporan secara dalam talian dengan mengisi Borang Pelaporan Kesan Sampingan Ubat Untuk Pengguna (ConSERF) di laman sesawang NPRA (www.npra.gov.my).

Dr Noor Hisham juga berkata, kes baharu Covid-19 yang dilaporkan pada Sabtu meningkat kepada 4,116 berbanding 4,046 semalam menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak itu ialah 2,829,089 setakat 12 tengah hari.

Sebanyak 39 (0.9 peratus) daripada jumlah kes baharu itu adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,077 kes (99.1 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

Artikel Berkaitan:

"Daripada 4,116 kes itu, sebanyak 498 adalah kes import dan 3,618 pula adalah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 141 kes dan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,858 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 2,753,119 orang.

Katanya, sebanyak sembilan kluster baharu direkodkan dengan 225 kluster masih aktif. - Bernama