Mampukah AS tunaikan janji kepada Rusia?

Blinken (kiri) mengadakan pertemuan dengan Lavrov di Geneva pada Jumaat. - Foto Agensi
Blinken (kiri) mengadakan pertemuan dengan Lavrov di Geneva pada Jumaat. - Foto Agensi
A
A
A

GENEVA - Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov memaklumkan Amerika Syarikat (AS) berjanji untuk mengemukakan respons bertulis berhubung tuntutan jaminan keselamatan Rusia pada minggu depan.

Kenyataan itu dibuat selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken yang menyertai rundingan semula selama 90 minit bersama Moscow di Geneva pada Jumaat menawarkan jawapan awal tentang perkara tersebut.

“Akhirnya, Washington akur untuk memberikan respons bertulis terhadap kesemua cadangan untuk meredakan ketegangan dengan Ukraine. AS bakal berdepan akibat yang dahsyat jika ia mengabaikan tuntutan kami,” ujar Lavrov yang sekali lagi menegaskan Moscow tidak merancang menceroboh Kiev atau mengancam rakyatnya.

Sementara itu, Blinken menyifatkan konflik tersebut kini berada dalam keadaan kritikal.

“AS sebenarnya mahu melihat sama ada laluan diplomasi dan berdialog masih terbuka,” jelasnya selepas Lavrov mengesahkan rundingan itu membolehkan Washington tampil dengan jawapan konkrit kepada kesemua cadangan dikemukakan Moscow.

Difahamkan, jaminan keselamatan terikat itu melarang Ukraine menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selain menuntut pakatan asing memanggil pulang pasukan tentera mereka di Eropah Timur.

Dalam perkembangan berkaitan, NATO menolak tuntutan Rusia supaya memanggil pulang pasukan tentera mereka dari Bulgaria dan Romania.

“Kami tidak boleh menerima sebarang idea tentang sfera pengaruh di Eropah. Kami akan sentiasa bertindak balas terhadap situasi persekitaran keselamatan yang semakin tergugat melalui pengukuhan pertahanan kolektif kami,” tegas jurucakap pakatan itu, Oana Lungescu.

Artikel Berkaitan:

Menerusi laporan perkhidmatan berita Interfax, Rusia dilaporkan terus mengerahkan pasukan tentera mereka ke sempadan Kiev dan Belarus bersama sistem pertahanan udara S-400 untuk menjalani latihan ketenteraan bersama Minsk bermula 10 Februari depan.

Ukraine jadi sasaran kempen panggilan ancaman bom palsu

Ukraine pada Jumaat mendakwa ia menjadi sasaran kempen sengit panggilan ancaman bom palsu didalangi Rusia sejak beberapa lalu.

Perkhidmatan keselamatan SBU memaklumkan ia telah merekodkan lebih 300 panggilan telefon dan mesej internet tanpa nama sejak awal bulan lalu.

“Ancaman bom palsu itu menyasarkan kemudahan awam dan infrastruktur kritikal termasuk sekolah, lapangan terbang dan kediaman presiden. Ia adalah salah satu elemen perang hibrid untuk meningkatkan tekanan terhadap Ukraine,” ujar SBU dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sebahagian besar mesej palsu itu dihantar dari negara bekas Kesatuan Soviet dan wilayah timur Kiev yang dikuasai puak pemisah pro-Moscow.

Sebagai langkah berjaga-jaga, sekolah di beberapa bandar turut ditutup dan diganti dengan sesi pembelajaran jarak jauh. - Agensi

Info:

>Negara Baltik (Estonia, Latvia dan Lithuania) akan menghantar misil antikereta kebal, Javelin dan misil antipesawat, Stinger untuk membantu pertahanan Ukraine.

>Jerman pula mahu menghantar hospital lapangan ke Kiev setelah penghantaran bekalan alat pernafasan. Sejumah anggota tentera Ukraine yang cedera parah kini dirawat di Hospital Bundeswehr.