Kes Covid-19 lepasi angka 4,000 dua hari berturut-turut

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kes harian Covid-19 negara merekodkan angka melebihi 4,000 untuk dua hari berturut-turut apabila merekodkan 4,116 kes pada Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 2,829,089.

Beliau berkata, daripada jumlah kes harian dilaporkan pada hari ini, 39 atau 0.9 peratus adalah kategori tiga hingga lima manakala 4,077 lagi adalah kes kategori satu dan dua.

"Terdapat 498 kes import membabitkan 406 rakyat tempatan dan 92 warga asing turut dikenalpasti.

"Untuk kes tempatan pula, sebanyak 3,618 kes direkodkan dengan 3,504 daripadanya adalah warganegara manakala 114 adalah bukan warganegara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 2,858 kes sembuh direkodkan pada Sabtu sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kepada 2,753,119 kes.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengenalpasti sembilan kluster baharu Covid-19.

"Jumlah keseluruhan kluster adalah 6,293 dan 6,068 daripadanya telah tamat dan selebihnya, 225 kluster masih aktif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau memaklumkan kadar kebolehjangkitan (Rt) nasional adalah 1.03 dengan tiga negeri tertinggi ialah Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang masing-masing 1.113 diikuti Kedah (1.06)

Turut melebihi nilai Rt nasional ialah Johor yang merekodkan 1.05 dan Melaka (1.04).