Remaja, pekerja diculik bongkar sindiket pemerdagangan manusia

Remaja tersebut mendakwa dia dan pekerja ibunya yang merupakan seorang warga Indonesia ditarik ke dalam sebuah kenderaan mewah oleh dua lelaki dan seorang wanita di sekitar Damansara Utama. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Remaja tersebut mendakwa dia dan pekerja ibunya yang merupakan seorang warga Indonesia ditarik ke dalam sebuah kenderaan mewah oleh dua lelaki dan seorang wanita di sekitar Damansara Utama. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai lapan warga tempatan dan seorang pendatang asing yang disyaki ahli sindiket pemerdagangan manusia ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar ibu negara Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja sekitar jam 12.20 tengah malam, Isnin mendakwa dia bersama pekerja ibunya diculik tiga individu.

Menurutnya, remaja tersebut mendakwa dia dan pekerja ibunya yang merupakan seorang warga Indonesia ditarik ke dalam sebuah kenderaan mewah oleh dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing di sekitar Damansara Utama di sini.

"Kenderaan tersebut telah berhenti secara mengejut dan suspek menarik pengadu bersama mangsa masuk ke dalam kenderaan itu dan menekup mulut mereka.

"Suspek kemudiannya melepaskan pengadu tidak jauh dari tempat kejadian tetapi melarikan mangsa ke lokasi tidak dapat dipastikan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bertindak atas maklumat, pada Isnin sekitar jam 5.30 pagi pihak polis menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dalam serbuan berhampiran sebuah pusat hiburan di sekitar ibu kota.

Mohammad Fakhrudin berkata, hasil soal siasat membawa kepada serbuan di sebuah unit pangsapuri perkhidmatan yang terletak di dalam sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

"Hasil serbuan dan pemeriksaan membawa kepada penemuan mangsa selain empat lagi wanita dan seorang lelaki warga asing berumur antara 20 hingga 40 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa turut dikawal oleh empat lelaki dan dua wanita tempatan selain seorang lelaki asing yang berumur antara 20 hingga 50 tahun," katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati seorang daripada suspek merupakan seorang ejen pekerja asing yang memperdaya mangsa untuk bekerja tanpa gaji.

Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati tiga daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah dan rekod jenayah komersil.

"Kesemua suspek direman selama lima hari dan kes disiasat di mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dan mengurung dengan salah," ujarnya.