Lulus kerakyatan anak jika dokumen perkahwinan sah, lengkap

Hamzah (dua dari kiri) menyampaikan sijil kelahiran dan Mykad kepada dua beradik iaitu Siti Nur Syuhadah Mohd Roslee, 18, dan adiknya, Ahmad Al-Amin, 16, (dua dari kanan) sempena program Kenduri Rakyat di Kampung Tapah, Selama, Larut pada Sabtu.
Hamzah (dua dari kiri) menyampaikan sijil kelahiran dan Mykad kepada dua beradik iaitu Siti Nur Syuhadah Mohd Roslee, 18, dan adiknya, Ahmad Al-Amin, 16, (dua dari kanan) sempena program Kenduri Rakyat di Kampung Tapah, Selama, Larut pada Sabtu.
A
A
A
LARUT - Kementerian Dalam Negeri tiada masalah untuk meluluskan mana-mana permohonan sijil kerakyatan anak kepada pasangan warganegara yang berkahwin dengan warga asing jika mempunyai dokumen perkahwinan yang sah dan lengkap.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, peruntukan undang-undang telah menetapkan permohonan itu perlu mempunyai sijil perkahwinan sah dan yang didaftarkan di negara ini.

Menurutnya, prosedur itu terpakai kepada semua rakyat Malaysia dengan dibuktikan bahawa salah seorang ibu atau bapa adalah warganegara ini.

"Tidak ada masalah untuk kita beri (kerakyatan) kerana undang-undang negara jelas yang pertamanya, anak itu mesti dilahirkan oleh ibu bapa yang sah perkahwinan mereka. Kalau sah perkahwinan barulah mereka boleh daftar di sini.

"Bila kita dapat pengakuan dan dokumen yang sah itu, baharulah kita minta mereka buat beberapa perkara seperti mengambil akuan bersumpah.

"Dengan itu baharulah kita yakin bahawa mereka memang layak diberikan kerakyatan," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Kenduri Rakyat di Kampung Tapah, Selama di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, bagi sesetengah permohonan, kelulusan itu akan mengambil masa sehingga lima ke enam bulan kerana perlu melalui pelbagai proses melengkapkan dokumen.

Katanya, seperti dalam kes Rohana Abdullah, kelulusan kerakyatan belum dapat dilakukan kerana masih ada beberapa perkara yang belum dapat diselesaikan termasuklah kedudukan pendaftaran perkahwinan ibu bapanya.

"Hanya selepas kita selesaikan kedudukan pendaftaran perkahwinan (ibu dan bapa Rohana), baharulah kita boleh keluarkan keputusan (lulus kerakyatan atau tidak)," katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam majlis itu, Hamzah yang juga Ahli Parliman Larut menyampaikan sijil kewarganegaraan, sijil lahir dan MyKad kepada empat penduduk di kawasan itu.