Memorandum henti pembalakan diserah kepada Agong

(Dari kanan, depan) Muhammad Faisal dan Shariffa Sabrina berarak sebelum menyerahkan memorandum di Pintu 3, Istana Negara pada Sabtu.
(Dari kanan, depan) Muhammad Faisal dan Shariffa Sabrina berarak sebelum menyerahkan memorandum di Pintu 3, Istana Negara pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu memorandum menggesa moratorium atau pemberhentian segera sebarang aktiviti pembalakan di dalam negara daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, memorandum tersebut mengandungi antaranya gesaan agar kerajaan meletakkan moratorium pembalakan di hutan seluruh negara bagi tempoh 25 tahun.

Selain itu, beliau berkata, memorandum itu juga meminta agar kerajaan menggazetkan seluruh Banjaran Titiwangsa merangkumi Central Forest Spine (CFS) sebagai Taman Negara dan seterusnya meletakkan kawasan tersebut di bawah kerajaan Persekutuan.

"Kalau kita tidak gazetkan Banjaran Titiwangsa, pembukaan dan pemusnahan hutan akan terjadi setiap hari seperti yang kita tengok hari ini," katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut di Pintu 3, Istana Negara, di sini pada Sabtu.

Shariffa Sabrina (dua dari kiri) selepas menyampaikan memorandum di Pintu 3, Istana Negara pada Sabtu.
Shariffa Sabrina (dua dari kiri) selepas menyampaikan memorandum di Pintu 3, Istana Negara pada Sabtu.

Antara NGO lain yang terlibat dalam memorandum tersebut ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Greenpeace Malaysia dan Otai Reformasi 98.

Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina berkata, aktiviti pembalakan yang berlaku di dalam negara telah menyebabkan kerapnya berlaku bencana alam di dalam negara.

"Bila kita musnah hutan selalu, akan terjadi bencana seperti kemarau, banjir dan tanah runtuh.

Artikel Berkaitan:

"Banjir berlaku hampir tiap tahun dan dah jadi macam temasya. Kita tidak mahu perkara ini berterusan," katanya.

Dalam pada itu, Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, memorandum itu turut membawa suara lebih 200,000 rakyat Malaysia yang mengundi secara dalam talian dalam petisyen mendesak kerajaan menghentikan pembalakan di dalam negara.

Katanya, sambutan terhadap petisyen tersebut yang baru sahaja dilancarkan dalam tempoh dua minggu menunjukkan bahawa ramai rakyat terkesan teruk dengan bencana yang diakibatkan oleh aktiviti pembalakan.

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal

"Sebab itu kenapa penting untuk kita menyerahkan memorandum ini kepada Seri Paduka Baginda kerana ini adalah harapan rakyat," ujarnya.

Antara perkara lain terkandung dalam memorandum tersebut ialah semakan segera pematuhan prosedur operasi standard (SOP) agensi berkaitan perhutanan dan pindaan Akta Persekutuan dan Perhutanan Negara 1984 (Akta313).

Turut disentuh ialah pindaan SOP pembinaan bangunan, perumahan di cerun dan kawasan tadahan air.

Memorandum tersebut juga meminta agar Yang di-Pertuan Agong menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan kelulusan pembalakan, perlombongan dan kuari di dalam hutan simpan serta pembukaan skala besar tanah tinggi berstatus hutan kerajaan negeri.