PGA Batalion 18 rampas 88 kg ganja mampat di sempadan

Mohd Noh (depan,dua kanan) menunjukkan antara ketulan mampat ganja seberat 1kilogram yang dirampas di kawasan semak sempadan Malaysia - Thailand di Jalan Stesen Kereta Api Padang Besar, Perlis pada Jumaat.
Mohd Noh (depan,dua kanan) menunjukkan antara ketulan mampat ganja seberat 1kilogram yang dirampas di kawasan semak sempadan Malaysia - Thailand di Jalan Stesen Kereta Api Padang Besar, Perlis pada Jumaat.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk 88 kilogram (kg) ganja mampat bernilai RM4.4 juta di kawasan semak sempadan Malaysia - Thailand di Jalan Stesen Kereta Api Padang Besar, Perlis pada Jumaat.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, rampasan dibuat kira-kira jam 9.08 malam berdasarkan maklumat dan risikan yang diterima.

Katanya, pada awalnya anggota PGA bertugas mengesan pergerakan masuk keluar dua lelaki yang mencurigakan dalam keadaan gelap berdekatan landasan kereta api terbabit.

"Kita kemudiannya membuat pemerhatian selama setengah jam, namun tiada individu yang masuk semula ke situ.

"Anggota kemudian mengambil keputusan mendekati lokasi tersebut untuk membuat pemeriksaan," katanya ketika sidang media di Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam di sini pada Sabtu. Turut hadir, Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Superintendan Ramli Wan Salin.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya berjaya menemui tujuh bungkusan plastik hitam berisi 88 ketulan mampat ganja dalam semak terletak kira-kira 10 meter dari pagar sempadan.

"Setiap ketulan ganja itu seberat 1 kilogram dan bernilai sekitar RM50,000 yang dibalut kemas dengan plastik lutsinar.

"Kita pada awalnya menjangkakan ia adalah bungkusan daun ketum kerana sudah lama tiada rampasan ketulan ganja di kawasan ini.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, susulan rampasan ini kita akan meningkatkan pengawasan di kawasan sempadan kerana kita menjangkakan akan ada lagi penyeludupan ganja selepas ini," katanya.

Katanya, barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara Itu, Mohd Noh berkata dalam kes berasingan, anggota PGA Batalion 18 turut merampas sepucuk pistol buatan sendiri yang mengandungi sebutir peluru 12 Bolt yang dimiliki seorang suspek tangkapan ketum di Wang Kelian pada 18 Januari lalu.