Rasuah Busters bukan sekadar kempen tapi gerakan besar perangi rasuah

Muhammad Nasir (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna pada Program Singgah Santun Rasuah Busters Sempena Kempen Cintai al-Quran di Masjid Kariah Arraudah Taman Rasa Sayang.
Muhammad Nasir (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna pada Program Singgah Santun Rasuah Busters Sempena Kempen Cintai al-Quran di Masjid Kariah Arraudah Taman Rasa Sayang.
A
A
A

SEREMBAN - Projek Rasuah Busters bukan sekadar kempen semata-mata sebaliknya satu gerakan besar untuk memberi mesej kepada masyarakat supaya bersama-sama memerangi rasuah.

Penasihat Projek Rasuah Busters, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, jika gerakan itu tidak dimulakan sekarang, ia akan menyebabkan masyarakat 'terlena' dengan perbuatan rasuah yang semakin teruk berlaku di negara ini.

"Kalau kita tidak mulakan usaha ini sekarang, agaknya sampai bila-bila isu rasuah yang berlaku di negara kita ini tiada pengakhiran. Kita nak orang tahu gerakan anti rasuah ini sudah bermula.

"Kita tengok hari ini masalah rasuah di negara kita sudah semakin teruk sehinggakan negara-negara jiran menghina Malaysia yang selama ini dihormati dan disegani. Bagi saya kita perlu lakukan sesuatu, " katanya ketika ditemui pada Program Singgah Santun Rasuah Busters Sempena Kempen Cintai al-Quran di Masjid Kariah Arraudah Taman Rasa Sayang di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang dan Ketua Pentadbir Masjid Kariah Arraudah Taman Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed.

Menurutnya, pelbagai platform yang ada pada Sinar Harian membolehkan mesej memerangi rasuah sampai kepada masyarakat secara lebih menyeluruh.

Kata Muhammad Nasir, ditambah pula dengan penglibatan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sangat menyokong usaha dilakukan.

Muhammad Nasir
Muhammad Nasir

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah sejak kita melaungkan slogan anti rasuah menerusi program Rasuah Busters ini nampaknya ia telah membuka mata pelbagai pihak.

"Ramai NGO yang telah bersama-sama kita dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang sangat mengharapkan negara kita suatu hari nanti akan pulih dari rasuah," katanya.

Selain itu katanya, perbuatan rasuah bukan sahaja merosakkan jiwa seseorang tetapi boleh meruntuhkan sesebuah negara yang akhirnya memberi kesan kepada generasi akan datang.

Justeru itu katanya, sentimen anti rasuah perlu ditanam dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi.

"Kalau setiap institusi keluarga dapat tanam semangat takut dan benci akan rasuah itu, maka kita akan dapat lahirkan generasi pemimpin yang tidak akan terjebak dengan rasuah.

"Bagi saya dalam sesebuah keluarga, peranan seorang ibu paling penting dalam soal mendidik anak-anak dan saya percaya seorang ibu boleh melahirkan generasi benci rasuah," katanya.