Tiada kuota khas tambahan pekerja asing dikeluarkan: Hamzah

Hamzah (tengah) hadir di Program Jualan Keluarga Malaysia di Arenasquare Wan Abu Bakar, di Kampung Masjid, Ijok dekat Selama, pada Sabtu. Foto Bernama
Hamzah (tengah) hadir di Program Jualan Keluarga Malaysia di Arenasquare Wan Abu Bakar, di Kampung Masjid, Ijok dekat Selama, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

LARUT - Tiada kuota khas dikeluarkan di peringkat menteri kepada mana-mana pihak bagi mendapatkan tambahan pekerja asing, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, perkara itu telah lama dihapuskan dan ditambah baik dengan beberapa kaedah baru yang perlu melalui syarat lebih ketat.

Menurutnya, ketika ini sebarang kuota tambahan kemasukan itu perlulah mendapat kelulusan daripada jawatankuasa khas pengambilan pekerja asing selepas melalui penilaian Kementerian Sumber Manusia.

"Dulu ya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bagi, tetapi sekarang tidak ada dah, saya tak bagi langsung.

"Saya dah serahkan kepada Kementerian Sumber Manusia untuk mencari dan menilai siapa (majikan) yang perlukan dan berapa ramai (pekerja asing) yang benar-benar mereka perlu.

"Contohnya dia kata nak 100 (kuota pekerja asing), yang dapat hanya 50 orang, kalau perlu tambahan maka dia boleh buat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri dan perkara itu akan dinilai dalam mesyuarat jawatankuasa," katanya ketika ditemui sempena Kenduri Rakyat di Kampung Tapah, Selama di sini, pada Sabtu.

Ahli Parlimen Larut itu turut berkesempatan hadir program Jualan Keluarga Malaysia di Arena Square Wan Abu Bakar, Kampung Masjid, Ijok.

Hamzah berkata, pentadbiran kerajaan sekarang telah melakukan perubahan besar dalam isu berkenaan bagi mengelakkan kemasukan pekerja asing sewenang-wenangnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam sektor perladangan contohnya, sekiranya majikan memerlukan khidmat pekerja asing yang ramai, mereka masih tertakluk kepada peruntukan Akta Buruh yang memerlukan penyediaan tempat tinggal dan sebagainya.

"Walaupun majikan itu layak dapat 1,000 kuota pekerja asing, kerana tidak mencukupi kriteria seperti tiada tempat tinggal, maka yang layak diluluskan mungkin hanya 400 orang.

"Jadi 'don't worry' (jangan bimbang), perkara ini telah saya perbetulkan, isu (kouta khas) ini legasi lama, jadi mungkin rakyat ingatkan perkara dan kaedah lama.

"Kaedah baru sekarang ini amat ketat sekali kerana kita tidak mahu bagi kuota pekerjaan itu terlalu bebas," katanya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr N Sukumaran dilapor mendesak kerajaan menghapuskan 'kelulusan khas' peringkat menteri sebagai kebenaran kepada pihak-pihak tertentu untuk memonopoli kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Kelulusan itu dipercayai digunakan sindiket sebagai orang tengah antara majikan dengan pihak kementerian bagi mendapatkan kuota tambahan pekerja asing melebihi keperluan walaupun tidak layak.