Wan Azizah, dua yang lain diperintah bayar Felda RM70,000

image
image
A
A
A
PUTRAJAYA - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya bersetuju dengan rayuan yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua yang lain bagi bayaran ganti rugi fitnah yang dikekalkan pada RM70,000 dan bukannya RM2 juta.

Peguam Francis Pereira memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini perintah persetujuan daripada kedua-dua pihak dalam saman itu, Felda dan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) telah bersetuju dengan rayuan yang dikemukakan oleh kliennya Dr Wan Azizah, bekas Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan penulis artikel Rusnizam Mahat.

Berikutan perintah persetujuan itu, Dr Wan Azizah yang juga bekas Presiden PKR, Syed Husin dan Rusnizam perlu membayar ganti rugi fitnah RM70,000 dan bukannya RM2 juta kepada Felda dan FGV.

Mereka merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM2 juta kepada Felda dan FGV berhubung artikel berunsur fitnah dan mereka memohon mahkamah mengembalikan keputusan timbalan pendaftar, yang memerintahkan mereka membayar RM70,000 kepada syarikat berkenaan.

Peguam Nor Emelia Mohd Iszeham yang mewakili Felda dan FGV, berkata beliau tidak membantah rayuan perayu dan menambah syarat perjanjian itu ditetapkan mengikut perintah persetujuan.

Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang mengetuai panel itu menerima perintah persetujuan itu.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Suraya Othman. Pada 5 Disember 2017, Mahkamah Tinggi menaikkan jumlah ganti rugi daripada RM70,000 kepada RM2 juta selepas membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh Felda dan FGV. Pada 13 Februari tahun lalu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norfauzani Mohd Nordin, dalam menilai ganti rugi itu, memerintahkan Dr Wan Azizah, Syed Husin dan Rusnizam membayar RM70,000 kepada Felda dan FGV.

Felda dan FGV memfailkan saman fitnah pada 16 Ogos 2010 berhubung dua laporan berita yang diterbitkan oleh Suara Keadilan pada 22 Jun dan 29 Jun.

Pada 30 September 2014, bekas editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib, yang pada mulanya dinamakan seorang daripada defendan, memohon maaf kepada Felda dan FGV.
Artikel Berkaitan:


Pada 17 Oktober 2014, Mahkamah Tinggi memberikan penghakiman memihak kepada Felda dan FGV selepas memutuskan bahawa Felda sebagai badan berkanun mempunyai hak untuk memulakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 15(1) Akta Pembangunan Tanah 1956.- Bernama