Jijoe tolak tawaran lumayan demi negara

Azizulhasni
Azizulhasni
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan beliau pernah mendapat beberapa tawaran lumayan yang mampu memberi kelebihan kepada diri dan kerjayanya sekiranya menerima tawaran berkenaan.

Bagaimanapun pelumba berusia 33 tahun itu berkata, beliau menolak tawaran tersebut kerana mengutamakan tanggungjawab kepada pasukan negara tercinta selain mahu membalas semula pelaburan yang sudah dibuat ke atas dirinya.

"Pada awal penghijrahan saya ke Melbourne, saya pernah mendapat tawaran daripada pasukan Drapac Professional (lebuh raya). Siapa tidak kenal pasukan UCI Pro Conti itu yang pernah dianggotai dua pelumba lebuh raya handalan negara, Mohamed Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli.

"Pengasas pasukan itu, Michael Drapac sendiri yang mengutarakan idea kepada John Beasley untuk meminang saya bagi pasukan beliau sebagai pemecut kerana beliau nampak kebolehan saya di trek dan juga di lebuh raya.

"Selepas berbincang dengan Beasley, saya akhirnya menolak dengan baik tawaran itu,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berkata, selepas mempamerkan aksi yang cemerlang dan konsisten di pentas antarabangsa dalam acara keirin, selain corak perlumbaannya yang penuh taktikal dan gemar ditonton peminat tegar berbasikal trek, beliau kemudiannya beberapa kali diberikan tawaran oleh Persatuan Keirin Jepun (JKA) untuk berlumba di negara berkenaan.

"Penuh dengan tradisi, saya diberikan surat jemputan dalam format tradisional Jepun yang siap dengan cop mohor, mengagumkan. Menjadi cita-cita setiap pelumba keirin untuk dipilih dan berlumba di sana, peluang untuk mengaut wang kemenangan yang besar juga adalah antara yang ditawarkan jika berlumba di siri perlumbaan di sana.

"Selepas mengambil sedikit masa, saya membuat keputusan untuk menolak tawaran berkenaan dengan penuh hormat. Oleh sebab itu mereka meminta saya untuk maklumkan apabila saya telah bersedia kerana mereka ingin menjemput kembali. Belum pernah berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga banyak kali ditawarkan untuk berlumba di perlumbaan jemputan di Eropah seperti six-day track series yang terkenal di benua sana dan mendapat liputan penyiaran antarabangsa tetapi juga saya tolak. Kenapa?

"Andai kata saya memilih peluang-peluang tersebut, sudah tentu ianya akan memberikan banyak kelebihan kepada diri dan karier saya,” ujarnya.

Bekas juara dunia keirin 2017 itu sedar, sekiranya beliau menerima tawaran tersebut ia akan mengganggu perancangan dan persiapan untuk kejohanan-kejohanan utama termasuk temasya sukan yang menjadi keutamaan buat pasukan negara.

“Saya sedia maklum yang Malaysia telah membuat banyak pelaburan untuk memastikan saya berada di mana saya berada pada hari ini.

"Oleh itu, saya sentiasa pastikan setiap wang yang dilaburkan akan saya cuba untuk balas balik baik dari segi pencapaian, pengorbanan mahupun memberi kembali (giving back) kepada masyarakat dan juga negara tercinta," jelasnya.