58 peratus tapak pelupusan sampah masih terbakar

Kon Yeow melihat laporan perkembangan semasa insiden kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung.
Kon Yeow melihat laporan perkembangan semasa insiden kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung.
A
A
A

NIBONG TEBAL – Insiden kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini yang berlarutan sejak 10 hari lalu masih belum dapat ditangani apabila 58 peratus kawasan masih terbakar.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini hanya kawasan fasa empat daripada lima fasa berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya.

"Fasa empat membabitkan keluasan 2.44 hektar telah dipadamkan sepenuhnya dan kini pihak bomba bersama agensi terlibat lain giat melakukan operasi pemadaman di fasa satu, dua, tiga dan lima.

“Anggaran keluasan tapak pelupusan adalah 32.8 hektar namun anggaran kawasan yang terbakar berkeluasan 11.2 hektar," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menghadapi kesukaran memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah itu berikutan faktor angin selain lokasinya berhampiran laut.

Jelasnya, tiada sebarang tempoh yang dapat diberikan dalam kerja-kerja memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah itu memandangkan masih terdapat api di permukaan tanah selain timbunan sampah banyak.

"Buat masa ini seramai 50 orang anggota yang terlibat dalam kerja-kerja memadamkan api pada setiap shif dan kita lakukan 24 jam.

“Kita akan meningkatkan pengawalan cuma operasi ini ambil masa sikit untuk kita membuat pemadaman antara sektor satu hingga fasa lima,” katanya.

Artikel Berkaitan: