MPP PKR adakan pemilihan jawatan baharu mulai 22 April depan

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan pemilihan parti bagi pemegang jawatan 2022-2025 bermula dari 22 April sehingga 29 April depan.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh pencalonan pula akan diadakan pada 11 Mac sehingga 19 Mac depan.

“Untuk memastikan proses pengundian lancar semua anggota parti diminta untuk membuat semakan status keanggotaan melalui laman web keanggotaan https://semakan.keadilanrakyat.org.

“Senarai anggota untuk pemilihan dan Mesyuarat Agung Tahunan (MATC) perlu mendaftar selewat-lewatnya pada 31 Januari ini,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Saifuddin berkata, MPP turut menetapkan kesemua cabang PKR di seluruh negeri hendaklah mengadakan MATC bermula dari 4 Mac sehingga 27 ini diikuti Kongres Nasional pada 10 Jun hingga 12 Jun.

“Segala ketetapan ini bagi memastikan perjalanan parti terpelihara selaras dengan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan tahniah atas amanah diberikan kepada Dr Zaliha Mustafa sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) serta Manivanan Gowindasamy sebagai Timbalan Pengerusi bagi mengelola perjalanan Pemilihan Parti.

Artikel Berkaitan: