Wan Kuzri tersenarai sertai kem latihan Skuad B-23

Wan Ahmad Kuzri
Wan Ahmad Kuzri
A
A
A

PEMAIN berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal sekali lagi mendapat peluang untuk membuktikan kehebatannya bersama pasukan negara.

Beliau antara 30 pemain dipanggil Ketua Jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, Brad Maloney untuk menyertai kem latihan pusat bermula 27 Januari ini sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja bulan depan.

Kali terakhir pemain tengah berusia 20 tahun itu menyertai kem latihan pusat pasukan negara adalah bersama skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan kendalian Maloney pada Ogos 2020.

Daripada 30 pemain itu, Maloney hanya mengekalkan sembilan pemain daripada skuad yang mencipta kejayaan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 selepas mengungguli saingan kumpulan pusingan kelayakan di Mongolia tahun lepas.

Sembilan pemain itu adalah Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, Muhamad Shafi Azswad Sapari, Muhammad Faiz Amer Runnizar, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Azhad Harraz Arman, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, T Saravanan dan Mohd Aiman Afif Md Afizul.

Penyerang muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin yang bermain untuk kelab Liga Belgium KV Kortrijk bagaimanapun tidak berada dalam senarai 30 pemain dan juga senarai pemain yang diminta bersedia dipanggil pada bila-bila masa.

Skuad B-23 kebangsaan dijadual berlepas ke Phnom Penh pada 12 Februari depan sebelum memulakan kempen kejuaraan menentang Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Prince pada 15 Februari.

Anak buah Maloney kemudian akan berdepan Laos pada 18 Februari di venue sama dan bertemu Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari.

Artikel Berkaitan:

Tiga juara kumpulan dan pasukan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir pada 24 Feb manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 26 Feb.

Sementara itu, lima pemain yang diletakkan dalam senarai simpanan adalah dua pemain JDT III Muhammad Firdaus Kaironnisam dan Muhammad Najmuddin Akmal Kamal Akmal, dua pemain Penang FC K. Thivandaran dan Aidil Danial Izhar serta pemain KL City FC Nabil Hakim Bokhari. - Bernama

Berikut adalah senarai 30 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan bermula 27 Januari:

1.T. Shaheeswaran, 23 - JDT II

2. Muhamad Alif Abdul Mutalib, 20 - JDT II

3. Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri, 19 - JDT II

4. Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, 20 - JDT II

5. Muhammad Shafi Azswad Sapari, 21 - JDT III

6. Daryl Sham K K George, 20 - JDT III

7.Muhammad Fakrul Iman Naszari, 21 - Selangor FC 2

8. Muhammad Faiz Amer Runnizar, 19 - Selangor FC 2

9. Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, 20 - Selangor FC 2

10. Muhammad Khairi Suffian Khaineyusri, 19 - Selangor FC 2

11. Mohd Nureizkhan Isa Japar, 22 - Sabah FC

12. Gerald Gadit, 23 - Sabah FC

13. Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim, 23 - Sabah FC

14. Azhad Harraz Arman, 19 - Sabah FC

15. Muhammad Safwan Mazlan, 20 - TFC

16.Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, 22 - TFC II

17. Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, 23 - TFC II

18.Zainal Abidin Jamil, 23 - PJ City FC

19. A Shivan Pillay, 22 - PJ City FC

20. V Ruventhiran, 21 - PJ City FC

21. Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir, 23 - Sarawak United FC

22. Mohammad Zharmien Ashraf Ismail, 20 - Sarawak United FC

23. Aizat Aiman Mazlan,19 - Skuad Projek FAM-MSN

24. Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili,19 - Skuad Projek FAM-MSN

25. Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil, 21 - PDRM FC

26. T Saravanan, 21 - Penang FC

27. Arif Shaqirin Suhaimi, 22 - KL City FC

28. Mohd Aiman Afif Md Afizul, 21 - KDA FC

29. Harith Naem Jaineh, 20 - Melaka United FC

30. Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal, 20 - Akron Zips