UMNO Selangor terus kerjasama Pas perkukuh MN

Noh (kanan) menyerahkan kad ucapan kepada masyarakat Tiong Hua pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina Parlimen Tanjong Karang di Pejabat MCA Pasir Penambang di sini pada Sabtu.
Noh (kanan) menyerahkan kad ucapan kepada masyarakat Tiong Hua pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina Parlimen Tanjong Karang di Pejabat MCA Pasir Penambang di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - UMNO Selangor berpegang teguh meneruskan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) seperti mana dalam resolusi yang diumumkan kepimpinan tertinggi pada Perhimpunan Agung UMNO pada tahun lalu.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, setakat ini beliau tetap dengan pendirian memperkukuh dan memperkasa MN di Selangor.

"Saya berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang lepas kerana salah satu daripada resolusinya iaitu meningkatkan kerjasama MN," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina Parlimen Tanjong Karang di Pejabat MCA Pasir Penambang di sini pada Sabtu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, setakat ini dasar itu tidak diubah dan di Selangor sendiri hubungan antara UMNO dan Pas amat baik.

"Saya kena akur dengan keputusan parti dan terus kekal bekerjasama dengan Pas dalam konsep MN," katanya.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini membayangkan Pas akan berbincang dengan UMNO bentuk kerjasama bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor jika ia diadakan dalam masa terdekat.

Tuan Ibrahim berkata, selain UMNO, parti itu akan berbincang rakan politik yang lain bagi membentuk kerjasama baik.

Artikel Berkaitan: