Sabah kembali jadi kubu kuat BN pada PRU15

Joseph (dua, kanan) menyampaikan watikah pelantikan membentuk Ahli Jawatankuasa Penaja Bahagian Tanjung Keramat kepada Alex (kanan) sempena Majlis Pelancaran PBRS Bahagian Tanjung Aru danTanjung Keramat di Putatan, pada Sabtu.
Joseph (dua, kanan) menyampaikan watikah pelantikan membentuk Ahli Jawatankuasa Penaja Bahagian Tanjung Keramat kepada Alex (kanan) sempena Majlis Pelancaran PBRS Bahagian Tanjung Aru danTanjung Keramat di Putatan, pada Sabtu.
A
A
A

PUTATAN - Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup yakin Sabah akan kembali menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Joseph berkata, sebagai parti komponen BN, beliau menerima permintaan kemasukan ahli yang menggalakkan di peringkat bahagian termasuk dua Bahagian PBRS baharu dilancarkan, pada Sabtu.

"Kami lihat begitu (kubu kuat BN) sebab ketika ini rakyat lihat hanya BN yang boleh membela nasib rakyat di Sabah dan mereka tertarik dengan keadaan BN.

"Saya juga lihat banyak bahagian yang minta (kemasukan ahli), bukan kami yang jumpa mereka tetapi mereka sendiri datang untuk menubuhkan Bahagian PBRS," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran PBRS Bahagian Tanjung Aru dan Tanjung Keramat, di sini, pada Sabtu.

Kata Joseph lagi, beliau percaya dengan keahlian PBRS melebihi 100,000 ketika ini membuktikan bahawa parti itu semakin kukuh.

"Saya percaya mereka tertarik dengan perjuangan PBRS yang selama ini bersama-sama BN kerana kami ada pendirian dalam UMNO, memperjuangkan nasib rakyat dengan konsisten walaupun susah dan senang," katanya.

Sementara itu, ditanya berhubung pembahagian kerusi untuk PRU akan datang, bekas Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, perkara berkenaan terlalu awal untuk dibincangkan.

"Harus eratkan dulu hubungan antara parti. Walaupun hubungan dengan rakan BN sudah kuat tetapi kami akan perkukuh lagi.

Artikel Berkaitan:

"Terlalu awal untuk bercakap mengenai pembahagian kerusi," katanya.

Diminta mengulas berhubung cadangan mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Joseph berkata, keputusan mengenainya perlu dibincangkan terlebih dahulu antara semua parti dalam gabungan itu.

"Setakat pengetahuan saya, ia baru cadangan dan kami belum berbincang secara mendalam berkaitan perkara ini," katanya.

Sebelum itu, Joseph dalam majlis berkenaan menerima lebih 3,000 borang keahlian untuk menyertai PBRS dari Bahagian Tanjung Aru dan Tanjung Keramat.

Hadir sama, Ketua Bahagian Penaja PBRS Tanjung Keramat, Alex Among; Ketua Bahagian Penaja PBRS, Addy Noran Sukiran dan Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Noor Mohamad.