X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Kerajaan Selangor perlu perbaiki kelemahan pengurusan banjir

Dr Ahmad Yunus
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor kesal dengan kelemahan kerajaan negeri menguruskan bencana banjir di Selangor.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kegagalan itu telah menyebabkan rakyat yang terjejas menjadi mangsa dan menanggung sengsara.

Menurut beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor bertanggungjawab untuk segera memperbaiki kelemahan itu bagi memastikan bencana yang sama tidak berulang pada masa hadapan.

"Berdasarkan penerangan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang khas Dewan Rakyat 20 Januari lalu ternyata pengurusan banjir di negeri ini cukup lemah.

"Kerajaan negeri terbukti tiada perancangan yang komprehensif menghadapi kompleksiti banjir bandar (urban flooding) sebagaimana diutarakan oleh PM sehingga mencetuskan situasi kelam kabut dengan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasinya di hari pertama dan hari-hari berikutnya.

"PM sendiri sebagaimana dijelaskan di Dewan Rakyat terpaksa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Banjir Selangor membuktikan betapa lemah dan tidak bersedianya kerajaan negeri PH dalam menghadapi saat cemas itu, " katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Ismail Sabri pada Khamis memberitahu terpaksa campur tangan isu banjir di Selangor berikutan kelemahan yang dikenal pasti di peringkat negeri dan daerah.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah mengeluarkan enam kali amaran cuaca signifikan yang boleh menyebabkan hujan lebat termasuk di Selangor namun tidak diendahkan sesetengah pihak.

Dr Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang berkata, bencana tersebut perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak terutama kerajaan negeri dengan memperbaiki pengurusan dan komunikasi di peringkat negeri dan daerah.

"Selain itu, kerajaan negeri khasnya pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil langkah drastik bagi mengurangkan risiko berulang bencana seumpama ini dengan memastikan saluran longkang monsun sentiasa diurus dengan baik dan tidak tersumbat dengan sampah sarap.

"Ini bukan masanya untuk menuding jari dan menyalahkan sesiapa, tetapi ini masanya untuk memastikan rakyat di Selangor tidak lagi menjadi mangsa akibat kecuaian dan kelemahan pentadbiran negeri," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!