JBPM perkenal modul didik masyarakat hadapi bencana

Mohammad Hamdan
Mohammad Hamdan
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang merangka sebuah modul khas di bawah Kursus Pengurusan Bencana Komuniti Keluarga Malaysia untuk mendayakan sesebuah komuniti menghadapi bencana.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, menerusi modul berkenaan, sesebuah komuniti lebih berkemampuan mencegah serta tahu apa yang perlu dilakukan sebelum, ketika dan selepas bencana berlaku.

"Perangkaan modul ini dilakukan susulan banjir yang melanda beberapa negeri di seluruh negara pada penghujung tahun lalu dan ia dirancang diadakan di beberapa kawasan berisiko tinggi (hotspot) yang dikenal pasti.

"Program ini melibatkan ketua-ketua masyarakat, penduduk dan wakil-wakil penduduk yang boleh menjadi 'anchor' kepada komuniti berkenaan. Mereka dapat membantu melaksanakan langkah-langkah pencegahan, persediaan serta sebagai responder awal ketika berlakunya bencana," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya pada Sabtu.

Beliau berkata, program tersebut akan dilaksanakan dengan bantuan Persatuan Geospatial dan Remote Sensing Malaysia, bersama pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejajar dengan Dasar Komuniti Negara.

"Program ini dijangka dilancarkan pada penghujung Februari ini di kira-kira 250 hotspot yang dikenal pasti di seluruh negara berdasarkan data yang diperoleh, kerjasama dari pelbagai agensi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dan lain-lain," katanya.

Artikel Berkaitan: