Kerajaan pastikan pelaksanaan strategi dalam Bajet 2022 teratur

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bertekad untuk memastikan pelaksanaan teratur bagi kesemua strategi digariskan dalam Bajet 2022 bagi memastikan kesejahteraan rakyat, sektor perniagaan berdaya tahan dan memacu pertumbuhan ekonomi yang makmur dan mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,bagi tujuan itu, kerajaan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 (JPB 2022) untuk memantau pelaksanaan dan prestasi inisiatif di bawah bajet berkenaan.

Beliau berkata, jawatankuasa tersebut juga akan mencadangkan penyelesaian, intervensi dan perubahan dasar yang sesuai bagi memastikan pelaksanaan sempurna Bajet 2022 yang bernilai RM332.1 bilion.

"Proses pemantauan juga akan melibatkan kerjasama rapat dengan kementerian dan agensi pelaksana bagi memastikan penyaluran manfaat Bajet 2022 dan penyampaian perkhidmatan awam yang efisien dan efektif.

"Selain itu, JPB 2022 juga akan meneliti tahap keberhasilan inisiatif-inisiatif di bawah Bajet 2022 dan akan mempertimbangkan semula jumlah peruntukan bagi inisiatif-inisiatif yang berkaitan, jika perlu,” katanya dalam kenyataan pada SabtuIsmail Sabri berkata, pakar-pakar industri juga akan dijemput menghadiri mesyuarat JPB 2022 untuk memberi maklum balas profesional, jika perlu selain mengalu-alukan maklum balas daripada rakyat dan sektor perniagaan mengenai pelaksanaan Bajet 2022.

Maklum balas boleh dikongsi melalui talian hotline 03-88824666, katanya.

Berkaitan bencana banjir yang meninggalkan impak lebih teruk dari tahun-tahun sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan bahawa pelaksanaan agenda kelestarian juga diberi perhatian khusus dalam penyediaan Bajet 2022.

“Sehubungan itu, Bajet 2022 memperuntukkan antara lain sejumlah RM450 juta bagi pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti, dan penerbitan Sukuk Kelestarian bernilai RM10 bilion bagi mencapai strategi pembangunan mampan negara.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan juga berharap agar semua segmen Keluarga Malaysia akan bekerjasama dalam menjayakan pelaksanaan langkah-langkah Bajet 2022 bagi kesejahteraan kita bersama,” katanya.

Keahlian tetap Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 terdiri daripada Ismail Sabri selaku pengerusi, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai pengerusi ganti, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) dan Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan.

Selain itu, turut menyertai jawatankuasa berkenaan adalah Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana), Kementerian Kewangan. - Bernama