Himpunan #TangkapAzamBaki jejas pendapatan peniaga, pekerja

Keadaan di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur lengang tanpa kehadiran pengunjung susulan perhimpunan #TangkapAzamBaki, pada Sabtu.
Keadaan di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur lengang tanpa kehadiran pengunjung susulan perhimpunan #TangkapAzamBaki, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga dan pekerja premis di Jalan Bangsar, di sini menyuarakan rungutan terhadap penganjuran perhimpunan #TangkapAzamBaki di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, pada Sabtu.

Ia berikutan beberapa laluan dilencongkan dan ditutup membabitkan Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers menuju ke Jalan Bangsar, Jalan Rakyat menuju ke Jalan Bangsar dan Jalan Maarof menuju ke Jalan Bangsar bermula jam 7 pagi tadi.

Menurut pengusaha bengkel motosikal dikenali sebagai Lee, 50-an berkata, bengkelnya terpaksa dibuka lewat daripada jadual asal pada jam 10 pagi.

Katanya, disebabkan laluan masuk ke jalan ini ditutup akibat perhimpunan itu, premis terpaksa dibuka lewat.

"Akibat himpunan, tiada orang hadir dan macam mana kami hendak buka? Ia memang kacau perniagaan ini.

"Saya tidak mahu ulas banyak. Agak kecewa juga. Susah orang hendak datang, kena tunggu semuanya selesai dan jalan buka dulu," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Selain itu, pekerja makanan segera, Samsudin Hasan, 43, berkata, perhimpunan itu mengganggu laluan hadapan premis.

"Sebaiknya himpunan tidak perlu dibuat kerana banyak kalangan peniaga di sini akan terjejas. Bukan itu sahaja, penghantar makanan juga tidak dapat 'job' hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Khidmat penghantaran pun kami tutup buat masa ini. Kebiasaan masa cuti ini, premis telah dihadiri pengunjung dan pembeli," ujarnya.

Tambahnya, perhimpunan itu telah menyekat pendapatan penghantar makanan Food Panda dan Grab Food dalam kalangan anak muda.

Sementara itu, bagi pekerja kedai emas, Lim Chee Chia, 38, dia terpaksa membuka premisnya lewat beberapa jam.

"Sepatutnya kedai dibuka pada jam 9 pagi. Tapi himpunan yang berlaku hari ini menyukarkan operasi kedai dan terpaksa lewat.

"Pelanggan tidak boleh hadir sebab jalan-jalan ditutup. Ia memang kacau perniagaan ini," katanya.