X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

87 individu terima darjah, pingat Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah
A
A

KLANG - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 87 orang penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-76 di Istana Alam Shah di sini pada Sabtu.

Berangkat sama ke istiadat itu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ahli Dewan Diraja Selangor, Tengku Datuk Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj juga merupakan Ahli Perbadanan Wakaf Selangor dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Raja Tun Uda mendahului senarai penerima dengan dikurniakan Darjah Kerabat Kedua (D.K II).

Selain itu, Sultan Sharafuddin juga mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Darjah Kebesaran - Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datin Paduka’ dikurniakan kepada antaranya Duta Besar Malaysia ke Belgium Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani; Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohd Tarid Sufian dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, Anizan @ Siti Hajjar Adnin.

Turut menerima Darjah Kebesaran D.P.M.S adalah Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Mohd Syafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Markas Tentera Darat, Mejar Jeneral Anuar Mohamad Ali dan Panglima Wilayah Laut 1 (Kuantan) Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain.

Darjah Kebesaran Datuk - Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) yang turut membawa gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datin Paduka’ dikurniakan kepada sembilan individu antaranya Ketua Pengarah Pergigian Markas Tentera Darat, Brigadier Jeneral Dr Mohd Rosli Majid, Pegawai Memerintah 94 HAT, Kem Terendak, Brigadier Jeneral Dr Mohamed Hatta Manis dan Panglima Pasukan Khas Laut (Lumut), Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Redzuan Talib.

Turut menerima Darjah Kebesaran D.S.I.S ialah Juruiring Tentera Kepada Sultan Selangor, Kepten Ahmad Ramli Kardi, Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Profesor Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Lembaga Pemegang Amanah, Lembaga Zakat Selangor, Dr Abdul Rahman Abdullah, Pengarah Urusan Sunway Healthcare Group Lau Beng Long dan Pengarah Urusan Segi Value Holdings Sdn Bhd, Chui Ah Hock.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran- Setia Mahkota Selangor (S.M.S) kepada 19 penerima manakala seramai 14 individu terpilih untuk dianugerahkan Darjah Kebesaran Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S).

Sempena ulang tahun keputeraan itu juga, Sultan Selangor berkenan untuk mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) kepada 15 penerima, Darjah Kebesaran Ahli - Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) kepada 14 orang dan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) kepada tujuh individu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!