X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Sarawak United semangat baharu Beto

Beto ketika menjalani latihan bersama para pemain Sarawak United lain. - Foto Sarawak United
A
A

PEMAIN tengah Sarawak United, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri mahu segera melupakan musim 2021 selepas gagal menyerlah bersama PJ City.

Menurut pemain berusia 27 tahun yang lebih dikenali Beto, sememangnya dia kecewa apabila tidak mendapat banyak minit permainan semasa di PJ City, namun situasi tersebut membuatkannya hampir berputus asa sebagai seorang pemain profesional.

Justeru, dia menghargai ruang diberikan oleh Sarawak United bagi membina semula kariernya sambil memberikan penghargaan kepada pengendali, E Elavarasan serta Pengarah Teknikal Sarawak United, B Satiananthan yang masih mempercayai kemampuannya untuk beraksi di pentas tertinggi.

“Di PJ City, mungkin ada pemain yang lebih bagus di posisi tengah atau corak permainan saya tidak begitu sesuai dengan corak taktikal yang menjadikan sukar untuk saya beraksi sepanjang musim lalu.

“Tidak dinafikan akibat kurang bermain dalam tempoh beberapa musim terakhir ini termasuk semasa di Perak, keyakinan saya sedikit terjejas.

“Namun semangat untuk saya berjuang bagi mendapatkan kembali rentak seperti dahulu masih belum hilang dan selagi ada peluang, saya sama sekali tidak akan berputus asa," katanya.

Jelas Khairil Anuar lagi, kehadirannya bersama kelab kepulauan Borneo itu merupakan peluang untuk kembali menyerlah selain membantu pasukan melakar keputusan positif dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini

“Jadi, saya hadir ke Sarawak United adalah ingin membuktikan semula siapa diri saya dan anggap ini sebagai peluang kedua dalam karier.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Elavarasan serta Satiananthan yang masih sudi memanggil saya ke sini biarpun musim lalu, mereka ada berbuat demikian namun saya sudah nyatakan komitmen dengan PJ City,” katanya.

Pemain yang berasal dari Teluk Intan itu begitu menyerlah di awal kariernya semasa pembabitannya bersama Perak ketika di usia 20 tahun serta sering kali menjadi pilihan mendiang Karl Heinz Weigang di dalam kesebelasan utama Kejor Yeop Kejor.

Kecemerlangannya itu turut mendapat panggilan skuad kebangsaan pada tahun 2017 untuk mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Namun, tiga musim terakhir di Perak, Beto bergelut bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama apabila banyak digunakan selaku pemain gantian.

Sementara itu, Beto akui dia perlu menggandakan usaha jika mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama di Sarawak United sambil menyifatkan ramai pemain boleh memberikan saingan seperti Stuart Wark dan Raja Imran Shah.

“Sebelum saya memikirkan pemain lain, saya kena perbaiki terhadap apa yang kurang terhadap diri ini jika mahu mendapatkan tempat dalam pasukan.

“Saya boleh bermain di posisi 6 atau 8 di bahagian tengah, kedua-duanya saya tidak berdepan sebarang masalah dan semuanya terpulang kepada perancangan jurulatih,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!