12 aktivis terlibat perhimpunan #TangkapAzamBaki dikenal pasti

Polis mengenal pasti 12 aktivis yang terlibat dalam himpunan di sebuah restoran di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur pada Jumaat yang mengajak orang ramai sertai perhimpunan #TangkapAzamBaki.
Polis mengenal pasti 12 aktivis yang terlibat dalam himpunan di sebuah restoran di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur pada Jumaat yang mengajak orang ramai sertai perhimpunan #TangkapAzamBaki.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengenal pasti seramai 12 orang aktivis terlibat dalam perhimpunan Pentas Anak Muda #TangkapAzamBaki yang diadakan secara tidak sah di sebuah restoran di Jalan Pantai Baharu, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, perhimpunan itu dijalankan kira-kira jam 9 malam dengan kehadiran seramai 30 hingga 40 orang.

"Seramai 12 orang aktivis dikenal pasti hadir dengan motif untuk mengajak masyarakat terlibat dalam perhimpunan #TangkapAzamBaki di LRT Bangsar yang akan dijalankan pada Sabtu jam 11 pagi.

"Ingin dimaklumkan bahawa perhimpunan ini tidak mendapat permit dan kebenaran daripada pihak berkuasa dan pihak penganjur gagal menghantar notis pemberitahuan untuk mengadakan program perhimpunan ini kepada polis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, tiada tangkapan dijalankan ke atas mana-mana individu.

Katanya, bagaimanapun, pemeriksaan butiran diri pengunjung yang hadir dalam perhimpunan tersebut dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012," ujarnya.

Tegas beliau, orang awam dilarang menyertai mana-mana perhimpunan tanpa permit yang sah daripada pihak polis.

Artikel Berkaitan:

"Berhimpun secara haram boleh menimbulkan kacau ganggu awam. Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.

Pada Jumaat, tular ciapan di media Twitter mendakwa pentas ceramah itu diserbu polis dan beberapa individu telah ditahan.