Himpunan #TangkapAzamBaki dijangka berlangsung hari ini

No Image Caption
A
A
A

PERHIMPUNAN #TangkapAzamBaki dijangka akan berlangsung di sekitar ibu negara hari ini.

Difahamkan perhimpunan tersebut bertujuan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki meletak jawatan susulan pelbagai isu negatif yang dikaitkan terhadap beliau.

Polis akan menutup enam jalan utama dan memberhentikan operasi di beberapa buah stesen di transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), monorel, dan KTM Komuter di sekitar ibu kota pada Sabtu.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Bertindak #TangkapAzamBaki, walaupun berlaku penutupan jalan, pihak akan tetap meneruskan perhimpunan tersebut dan menukar lokasi di bawah jambatan LRT Bangsar.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, penutupan tersebut bermula pada jam 7 pagi hingga satu masa yang akan diberitahu kelak.

Menurut beliau, jalan yang ditutup adalah Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi, dan Jalan Sultan Ismail.

Noor Dellhan Yahaya
Noor Dellhan Yahaya

Dalam pada itu, seramai lima ahli politik dikenal pasti antara 16 individu yang dipanggil pihak polis untuk dirakam keterangan berhubung perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dijangka berlangsung pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Noor Dellhan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti penganjur perhimpunan tersebut.

Menurutnya, mereka sudah panggil 16 individu dan lima daripadanya adalah ahli politik tetapi identiti mereka tidak boleh didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan.

Tambah beliau, mereka sedang dalam proses lengkapkan kertas siasatan untuk dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Bagaimanapun, pada Jumaat, Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan perintah larangan berhimpun di Dataran Merdeka, sekitar pusat beli-belah Sogo dan Masjid Jamek di ibu negara selama tujuh hari bermula Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, perintah tersebut dikeluarkan susulan ada pihak yang dikesan cuba untuk menganjurkan perhimpunan #tangkapAzamBaki di ibu negara.

Menurtunya, polis tak terima sebarang notis untuk makluman perhimpunan daripada mana-mana individu atau pihak seperti yang digariskan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sebelum ini, Polis memanggil aktivis, Adam Adli Abdul Halim pada Khamis untuk dirakam keterangan berhubung perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dijadualkan berlangsung di sekitar ibu negara pada Sabtu.

Adam Adli dilihat hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama peguamnya kira-kira jam 2.40 petang mengaku memberi kerjasama kepada polis selain tidak menolak kemungkinan akan dipanggil semula.