Rosdi Rahmat diumum sebagai pemenang cabutan bertuah Sinar Premium

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pelanggan portal berita Sinar Premium, Rosdi Rahmat diumumkan sebagai pemenang minggu pertama bagi cabutan bertuah yang dikendalikan Sinar Premium, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500.

Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, cabutan bertuah itu dilakukan secara rawak berdasarkan 100,000 langganan pertama.

Menurutnya, penyertaan cabutan bertuah itu dibuka bermula sejak 15 November lalu sehingga 15 Januari namun disebabkan sambutan yang cukup memberangsangkan, ia dilanjutkan 10 minggu lagi sehingga 26 Mac.

“Mekanisme penyertaan adalah sangat mudah, iaitu orang ramai hanya perlu melanggan mana-mana pakej Sinar Premium sama ada pakej sebulan, tiga bulan, enam bulan atau setahun dan berpeluang untuk dipilih sebagai pemenang.

“Kita menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM25,000 dan untuk merancakkan lagi penyertaan, kita bercadang mengumumkannya setiap minggu sepanjang 10 minggu tempoh lanjutan. Ini bermakna, setiap minggu pelanggan berpeluang untuk menang hadiah wang tunai RM2,500,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Ditanya mengenai sambutan terhadap langganan Sinar Premium, Nik Justin berkata, sambutan terhadap langganan sangat menggalakkan dan beliau melihat pengisian yang berlainan berjaya menarik perhatian pelanggan-pelanggan baharu.

Jelasnya, konsep langganan portal berbayar agak baharu di negara ini dan Sinar Harian adalah antara salah satu pelopor bagi portal berbayar.

“Sejak pelancaran portal Sinar Premium pada 31 Julai tahun lepas sehingga sekarang, kita melihat percaturannya berjaya dan pembaca lebih terbuka serta sanggup membayar untuk membaca berita yang lebih eksklusif dan mendalam dengan pelbagai analisis yang lebih terperinci.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga membuktikan sokongan mereka terhadap kewartawanan bebas. Justeru, cabutan bertuah ini juga sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan-pelanggan baharu Sinar Premium,” jelasnya.