Lebih empat juta pengundi berusia 18 tahun daftar mengundi automatik

Ismail Sabri menyampaikan ucapan perasmian Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan Kali Ke-60 di sini malam ini. -Foto Bernama
Ismail Sabri menyampaikan ucapan perasmian Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan Kali Ke-60 di sini malam ini. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai lebih empat juta anak muda negara berusia 18 tahun didaftarkan secara automatik untuk mengundi sehingga 16 Januari lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia adalah selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dilaksanakan pada tahun 2019.

Menurutnya, pertubuhan-pertubuhan belia perlu memainkan peranan untuk memberikan kesedaran kepada golongan muda tentang pentingnya proses demokrasi ini.

"Proses ini amat penting bagi memastikan pemimpin yang dipilih adalah benar-benar layak serta mampu menerajui negara. Kesilapan memilih pemimpin akan memberikan kesan yang buruk kepada negara pada masa akan datang.

"Memilih pemimpin tidak boleh berasaskan emosi tetapi perlu melalui pertimbangan yang sedalam-dalamnya.

"Sejarah telah membuktikan bagaimana negara-negara dunia menghadapi masalah sehingga hari ini disebabkan pemimpin dipilih melalui emosi dan sentimen negatif yang diwujudkan oleh pihak tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) di Hotel Grand River View di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pertubuhan belia dan MAYC perlu sentiasa bersiap siaga menjadi benteng yang mencurahkan taat setia kepada kebenaran, memastikan tiang-tiang seri yang menegakkan negara ini dapat terus dipertahankan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pertubuhan belia dalam negara tidak seharusnya menjadi pentas untuk berpolitik atau untuk kepentingan peribadi.

"Ia adalah sebagai platform untuk memberikan input-input yang bermanfaat kepada kerajaan supaya dapat membangunkan kembali negara.

"Kerajaan mahu lebih banyak anak muda yang proaktif memberikan pandangan-pandangan yang membina," katanya.

Dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM400,000 kepada MAYC bagi membantu pengurusan persatuan itu melibatkan kumpulan belia dari seluruh negara.