X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Hamidin belum sedia lepas jawatan

Hamidin
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak berniat untuk meletakkan jawatan susulan kegagalan Harimau Malaya menepati sasaran beraksi di pentas final Piala Suzuki AFF 2020.

Menurut Hamidin, beliau masih mempunyai perancangan dan agenda yang belum terlaksana dalam misi mengembalikan semula prestasi Harimau Malaya.

“Saya tahu kebanyakan (desakan) datang daripada netizen tetapi mereka ada pendapat sendiri dan saya pun ada pendapat sendiri. Saya menghormati pandangan dan membaca kritikan membina yang diberikan mereka.

“Saya tidak rancang untuk duduk (pimpin) FAM untuk tempoh 10 hingga 20 tahun, saya baru tiga tahun pimpin FAM,

“Banyak perkara yang saya perlu buat bagi memastikan Harimau Malaya kembali mengaum,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM pada Jumaat.

Sebelum ini, beberapa desakan daripada peminat dan bekas pemain kebangsaan yang mahukan barisan kepimpinan FAM melepaskan jawatan masing-masing susulan prestasi kurang memuaskan skuad Harimau Malaya pada Kejuaraan Piala Suzuki AFF 2020.

Edisi Singapura 2020, menyaksikan skuad kebangsaan gagal mencapai sasaran yang ditetapkan selepas tersingkir awal sekali gus mengundang pelbagai reaksi terutama dalam kalangan penyokong bola sepak negara.

Dalam pada itu, Hamidin turut mengumumkan peletakan jawatan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi selaku pengurus pasukan Harimau Malaya susulan kegagalan skuad kebangsaan mencapai sasaran dalam Piala Suzuki AFF 2020 bulan lalu di Singapura.

Jelas beliau, keputusan tersebut dibuat mengambil kira Yusoff mahu memberi fokus terhadap jawatannya selaku Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL) dan Timbalan Presiden FAM.

“Beliau telah berjumpa dengan saya untuk menyatakan hasratnya mahu meletakkan jawatan atas alasan ingin memberikan tumpuan penuh terhadap tugasnya selaku Pengerusi AFL dan Timbalan Presiden FAM.

“Justeru posisi tersebut kini kosong dan saya akan tunggu dari Pengarah Teknikal untuk sediakan kertas cadangan, mungkin sebulan dua lagi,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!